Terkini

Agensi Kementerian Sumber Manusia adakan pertemuan dengan pengurusan Malindo Air hari ini

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja telah mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan pengurusan Malindo Air hari ini susulan pemberhentian pekerja syarikat penerbangan itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata mesyuarat yang turut melibatkan Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bagi membincangkan isu berkaitan pematuhan perundangan perburuhan serta langkah-langkah menjaga pekerja yang terlibat.

Beliau berkata pada masa ini, pekerja-pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta boleh mendapatkan bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sehingga enam bulan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi mengurangkan beban mereka.

“Bayaran elaun akan dibuat antara 80 peratus hingga 30 peratus daripada gaji akhir, di bawah had gaji RM4,000,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan P. Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) berhubung bantuan yang diberikan kepada pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja serta-merta dan rancangan kementerian untuk memastikan jaminan pekerjaan untuk mereka.

Saravanan berkata pekerja terlibat juga boleh mendapat bantuan seperti Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB), elaun latihan, fi latihan dan faedah bantuan pencarian pekerjaan.

Beliau berkata pada masa sama, pekerja Malindo Air yang diberhentikan kerja boleh mendaftar dengan Portal MYFutureJobs iaitu portal pekerjaan yang membantu mereka mendapatkan pekerjaan serta mengikuti program Gerak Insan Gemilang (GIG) bagi mendapatkan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang untuk menjana pendapatan sampingan sementara mencari pekerjaan baharu.

Selain itu, katanya kementerian melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) mempunyai pelbagai inisiatif di bawah Penjana HRDF yang dapat membantu pekerja Malindo Air yang telah hilang pekerjaan atau yang mungkin akan kehilangan kerja.

“Di bawah inisiatif “Place and Train”, pekerja Malindo Air boleh dilatih semula dan ditempatkan bagi mengisi kekosongan kerja yang ditawarkan dalam ‘industry hospitality’ yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata bagi pekerja yang merasakan penamatan perkhidmatan berikutan pandemik COVID-19 adalah tidak adil dan tanpa alasan munasabah, mereka mempunyai hak untuk memfailkan representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) yang membolehkan pekerja itu dipulihkan ke pekerjaan asal.

Katanya, setakat 2 Nov, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) telah menerima 31 kes representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20 akta itu yang melibatkan bekas pekerja-pekerja Malindo Air.

Daripada jumlah itu, 24 kes telah berjaya diselesaikan melalui rundingan damai manakala baki tujuh kes masih dalam tindakan JPP bagi proses rundingan damai.

“JPP menjangkakan dalam masa terdekat, lebih banyak kes akan diterima daripada bekas pekerja-pekerja Malindo Air memandangkan had tempoh masa 60 hari yang ditetapkan di bawah Akta 177 belum tamat dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di beberapa negeri masih lagi berkuat kuasa,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: