Terkini

Hutang Kerajaan Persekutuan 2019 naik kepada RM792 bilion

KUALA LUMPUR – Kerajaan persekutuan mencatatkan jumlah hutang sebanyak RM792.9 bilion tahun lalu, iaitu peningkatan sekitar tujuh peratus berbanding RM741 bilion pada 2018.

Perkara itu dimaklumkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019, yang dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, hari ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, berkata nisbah hutang kerajaan tahun lalu kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada paras 52.5 peratus, berbanding 51.2 peratus pada 2018.

Jumlah liabiliti persekutuan pula adalah sebanyak RM1.08 trilion atau bersamaan 71.5 peratus nisbah liabiliti kepada KDNK.

“Sebanyak 59.9 peratus atau RM82.7 bilion daripada jumlah Terimaan Pinjaman Baharu berjumlah RM138.5 bilion, digunakan untuk bayaran prinsipal pinjaman dalam negeri (hutang matang).

“Hanya 29.7 peratus atau RM41.1 bilion digunakan untuk tujuan perbelanjaan pembangunan. Situasi sebegini haruslah diperbaiki,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan berakhir 31 Disember 2019 itu secara keseluruhan memberi gambaran benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan, dengan rekod perakaunan diselenggara dengan teratur dan dikemas kini.

Selain itu, katanya, kerajaan dan Jabatan Akauntan Negara dilihat lebih telus dalam penyediaan penyata kewangan, dengan nota disertakan memberi gambaran lebih jelas untuk membolehkan Jabatan Audit Negara memetik sesuatu isu.

Namun, katanya, Ketua Audit Negara memaklumkan, penyata kewangan itu turut diberikan Sijil Pendapat Tanpa Teguran dengan beberapa perkara perlu diberikan perhatian (EOM).

Antara EOM itu, katanya, adalah mengenai penggunaan peruntukan pembangunan dan mengurus berjumlah RM3.94 bilion yang disalurkan dalam bentuk geran kepada 11 syarikat milik kerajaan untuk membayar balik pinjaman.

“Ketua Audit Negara juga menekankan perhatian kepada isu pelaburan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang membabitkan kepincangan perakaunan dari segi audit,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: