LONDON – Britain dijangka memberi kelulusan pengeluaran vaksin COVID-19 bagi syarikat gergasi farmaseutikal, Pfizer dan BioNTech pada minggu ini, walaupun pihak berkuasa Amerika Syarikat belum berbuat demikian, lapor portal media, Telegraph semalam.
Menurut Telegraph yang memetik sumber kerajaan, pihak perundangan British akan memulakan penilaian terhadap vaksin dikeluarkan oleh kedua-dua syarikat itu dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diminta untuk bersedia melakukan proses kawal selia mulai 1 Disember ini.
Pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS, Jumaat lalu berkata, satu pertemuan akan dibuat pada 10 Disember depan bagi membincangkan kelulusan vaksin berkenaan.
Semalam, Jabatan Kesihatan United Kingdom tidak memberikan sebarang komen mengenai jangkaan tempoh vaksinasi pertama akan dikeluarkan.
Jurucakapnya berkata, proses kelulusan dari Agensi Penguatkuasaan Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA) tidak tertakluk kepada kerajaan dan boleh mengambil masa yang lama berikutan keperluan untuk menilai data akhir daripada Pfizer.
“Perancangan yang besar dibuat bagi memastikan perkhidmatan kesihatan bersedia untuk mengeluarkan vaksin COVID-19,” kata jurucakapnya.
Pada minggu lalu, Britain memohon MHRA menilai kesesuaian bagi vaksin Pfizer dan BioNTech.
Britain menempah 40 juta dos dan menjangkakan untuk menerima 10 juta dos bagi melindungi kesihatan lima juta rakyatnya yang mungkin akan dapat digunakan menjelang penghujung tahun ini jika ia diluluskan. – AGENSI
