Terkini

“Fahami situasi kami…”, Keluh kesah Penunggang Perkhidmatan E-Hailing

“Tunggang motosikal ikut suka hati, bawa laju, mencelah sana sini, macam tak sayang nyawa sendiri”.

“Dahlah lambat hantar makanan, caj pula mahal”.

“Pemandu e-hailing ni semua sama sahaja, mereka ni tak tahu jaga hati penumpang”.

Itu antara persepsi masyarakat bagi sesetengah petugas e-hailing pada masa kini. Tidak kira penghantar makanan mahupun pemandu penumpang, ianya seakan-akan pandangan pukul rata yang diterima tidak mengira, sama ada mereka daripada syarikat tertentu ataupun yang bekerja sendiri.

Tidak dapat disangkal adakalanya persepsi sebegitu benar namun tidak adil pula jika ianya dilontarkan kepada semua petugas penghantaran.

Pemandu dan penunggang e-hailing selayaknya dikelaskan sebagai wira tidak didendang. Ini kerana sejak negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga kini di fasa PKP Bersyarat (PKPB), merekalah yang menjadi barisan hadapan memenuhi permintaan seluruh masyarakat bukan sahaja menghantar makanan malah ada juga membawa orang awam ke klinik dan hospital.

Golongan penunggang perkhidmatan e-hailing misalnya, sebelum ini jumlah mereka dilihat tidak terlalu ramai di jalan raya, namun kini senarionya berbeza apabila mereka kelihatan dimana-mana dengan beg yang disandang dibelakang mewakili warna syarikat masing-masing.

Foto kredit: Malay mail

Kehadiran mereka dalam jumlah yang ramai ini salah satunya disebabkan ada yang kehilangan pekerjaan tetap atau mencari pendapatan tambahan dengan terpaksa mencari nafkah menceburi bidang e-hailing yang dilihat lebih mudah tanpa memerlukan modal yang besar.

Rata-rata kebanyakan mereka bukan sahaja terdiri daripada pelajar, graduan malah golongan profesional yang kehilangan tempat bergantung disebabkan pandemik COVID-19 yang menyaksikan beberapa industri atau sektor pekerjaan ‘gulung tikar’ mahupun terpaksa mengecilkan operasi masing-masing.

Antara industri yang terkesan impak ini seperti sektor penerbangan, pelancongan, pendidikan atau syarikat percetakan dan media dan perkilangan.

Justeru, jalan paling mudah ialah menjadi pemandu atau penunggang e-hailing sama ada menghantar makanan, barangan atau membawa penumpang pada masa sama menjalankan kerja sampingan lain.

Maka tidak hairanlah, ramai pemandu dan penunggang ini mewujudkan laman sosial kumpulan masing-masing di facebook untuk meluahkan perasaan atau berkongsi kisah kehidupan seharian sama ada ‘kisah manis atau pahit’.

Tidak kurang juga bercerita mengenai berita kemalangan jalan raya yang menimpa ‘rider-rider’ ini yang sudah dianggap sebagai ‘satu keluarga’ atas semangat ‘brotherhood’.

Apabila kerajaan melaksanakan PKPB dengan arahan jumlah pekerja di sesebuah syarikat dihadkan kepada 30 peratus, maka ramai pula yang bekerja di rumah (WFH) dan semakin ramai pula yang tidak keluar menggunakan perkhidmatan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

Ini sekali lagi ujian buat pemandu penumpang apabila pendapatan semakin merosot berikutan kurangnya penumpang sedangkan kos harian daripada segi kos bahan api, sewa kenderaan, kos penyelenggaraan terpaksa ditanggung setiap hari.

Tidak kurang juga yang beranggapan kerjaya yang mereka lakukan kini amat berisiko tinggi kerana mendedahkan diri mereka dalam risiko COVID-19 yang sedang menyaksikan peningkatan kes dijangkiti melebihi 1,000 kes setiap hari.

Keluhan dan masalah yang membelenggu bagi mereka ini akhirnya didengari oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila beliau meluangkan masa turun padang menemui mereka baru-baru ini.

Muhyiddin turut menganggap pemandu dan penunggang e-hailing sebagai wira yang tidak didendang yang dihargai ketika berdepan dengan setiap fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu. Beliau juga turut mengakui kesukaran yang dihadapi mereka dan memahami situasi yang dialami.

Malah mengakui pendapatan yang diperolehi sepatutnya jauh lebih tinggi sebelum COVID-19 melanda seluruh dunia.

“Ada antara mereka terpaksa memandu atau menghantar pesanan pelanggan lebih lapan jam sehari. Ramai juga yang telah menjadi pemandu atau riders sepenuh masa setelah hilang pekerjaan tetap.

“Sekarang ini kalau mendapat RM100 sehari pun mereka mampu tersenyum tetapi jika mereka mendapat RM150 sehari, bolehlah mereka tersenyum lebar. Saya bangga dengan semangat dan dedikasi mereka,” katanya dalam laman Facebook beliau.

Perdana Menteri cakna hasil pendapatan yang diperoleh mereka secara maksimum hanyalah sekitar RM150 sehari. Namun, semangat kental untuk mencari rezeki itu adalah sesuatu yang wajar dipuji.

Malangnya, kata Perdana Menteri, mereka juga menghadapi masalah lain seperti kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan dan kekangan bantuan kerajaan seperti subsidi minyak. Sehubungan itu, beliau memberi jaminan untuk mengkaji perkara berkenaan dan berbincang dengan kementerian berkaitan.

Sementara itu, kebanyakan pemandu dan penghantar Grab juga melahirkan kebimbangan mengenai peraturan Lesen Pengendali Sementara (LPS) dan garis panduan perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan atau p-hailing, yang khabarnya akan dilaksanakan Kementerian Pengangkutan bermula 1 Januari tahun depan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah ketika memberitahu Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu sebagai berkata, kementeriannya sedang menyediakan peraturan dan garis panduan perkhidmatan berkenaan khususnya penggunaan motosikal.

Hasbi berkata, ketika ini terdapat kira-kira 200,000 pemandu mendaftar dengan 45 syarikat perkhidmatan e-hailing sejak 2018.

Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Azlan Shah Al Bakri dipetik di sebuah portal berita berkata, Kementerian Pengangkutan sudah mula mengadakan perbincangan diperingkat awal mengenai perkara berkenaan.

Jelasnya, pihaknya tidak mempunyai maklumat penuh mengenai perkara ini tetapi adalah lebih baik jika kenyataan itu diperoleh sendiri daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, idea untuk mewujudkan garis panduan mengenai perkhidmatan penghantaran e-hailing ini ditimbulkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang memberikan penekanan mengenai aspek keselamatan penunggang e-hailing ini.

Dalam satu kajian dilakukan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan mendapati sebanyak 82 peratus daripada penunggang ini tidak mematuhi peraturan trafik jalan raya seperti melanggar lampu isyarat dan menunggang dalam keadaan membahayakan.

Laporan Miros yang sudah diserahkan kepada Menteri Pengangkutan itu menekankan kepada aspek disiplin penunggang motosikal e-hailing ketika dijalan raya dan juga mengetengahkan beberapa kelemahan kepada kementerian berkenaan.

Sementara itu, beberapa syarikat yang menyediakan perkhidmatan e-hailing mengesahkan sudah dijemput untuk mengadakan mesyuarat dengan APAD untuk berbincang mengenai kadar komisen dan lesen sementara bagi penghantaran menggunakan kereta.

Mereka berpendapat, APAD sepatutnya bertindak menguruskan pengangkutan awam dan bukannya dalam perkara itu kerana syarikat yang terbabit hanya menguruskan penghantaran makanan dan barangan bukannya membawa sebarang penumpang.

Difahamkan dengan pembabitan APAD, sebanyak 20 peratus perolehan daripada caj penghantaran akan diberikan kepada pihak berkuasa.

Mereka berpendapat, jika pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberikan kuasa untuk melaksanakan peraturan ini, maka ini akan menjejaskan masa penghantaran barangan disebabkan oleh sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut yang dilakukan.

Pandemik COVID-19 ini memberikan cabaran baru dalam pasaran kerja di negara ini dan kerajaan harus mengambilkira keadaan semasa yang sukar ketika ini apabila ramai yang kehilangan pekerjaan serta pada masa sama jumlah kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal yang menghantar makanan juga tidak diabaikan.

Sebagaimana Perdana Menteri yang menyifatkan golongan pemandu dan penghantar ini sebagai petugas barisan hadapan, Tan Sri Muhyiddin menzahirkan rasa bangga dengan semangat dan dedikasi mereka bagi mencari rezeki untuk keluarga demi kelangsungan hidup terutama sejak wabak COVID-19 melanda negara.

Muhyiddin berkata beliau akan meminta MOT untuk meneliti semula perkara ini dengan seberapa segera .

“Saya ingin berpesan kepada semua pemandu/rider, agar dalam pada gigih mencari rezeki, jangan sesekali lupa menjaga keselamatan diri. Apa juga cabaran dan dugaan yang datang jangan putus asa atau cepat mengalah. Sematkan semangat ini dalam diri.

“Semoga Allah memberkati usaha anda semua dan melindungi kita daripada sebarang musibah,” katanya.

Respon dari Perdana Menteri ini sedikit sebanyak membolehkan para ‘rider’ menarik nafas lega dan mengharapkan ada sinar dalam industri e-hailing ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: