Subang Jaya – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memperkenalkan aplikasi ‘PULSE’ (Planning Your Lifestyle Efficiently) bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka dengan lebih baik. Pengenalan aplikasi ini merupakan sebahagian daripada insiatif Prasarana untuk meningkatkan lagi kemudahan untuk orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kendalian mereka.
Aplikasi ini ditawarkan untuk kawasan Lembah Klang terlebih dahulu. Kemudiannya, bakal dikembangkan ke Penang dan Kuantan sekitar pertengahan tahun hadapan.
Untuk peringkat permulaan ini juga, ia boleh diguna pakai di sejumlah perkhidmatan Rapid KL yang meliputi – rangkaian LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Sri Petaling, Laluan Monorel, Bas Rapid Transit – Laluan Sunway, perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL dan juga bas perantara Jom Naik MRT.

Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, aplikasi PULSE adalah satu lagi inisiatif untuk meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Kumpulan Prasarana.
Aplikasi ini menyediakan pelbagai maklumat berguna untuk pengguna. Ia termasukl, status perkhidmatan setiap mod perkhidmatan Prasarana, jangkaan masa ketibaan untuk bas dan tren, kiraan tambang untuk sesuatu perjalanan, notifikasi ‘App Push’ dan carian untuk stesen terdekat.

“Saya amat berharap warga kota akan memuat-turun dan mencuba aplikasi PULSE ini, yang sememangnya direka sebagai mesra pelanggan dan mudah digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aplikasi PULSE boleh dimuat-turun daripada Google Play Store bermula minggu hadapan. Seterusnya, ia akan ditawarkan di App Store pula sebelum tahun baru.
