Terkini

Mengapa pawagam masih ditutup sedangkan aktiviti riadah yang lain dibenarkan?

Kuala Lumpur – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula dari 13 Januari 2021, banyak perniagaan telah dibenarkan beroperasi atas alasan keperluan. Malah, untuk memastikan peniaga tidak gulung tikar, kerajaan juga membenarkan pembukaan beberapa sektor perniagaan secara berperingkat.

Walaubagaimanapun, selepas lebih sebulan PKP 2.0 berjalan, masih ada perniagaan yang tidak dibenarkan dibuka. Salah satu daripadanya adalah panggung wayang gambar atau pawagam.

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) merasakan diskriminasi dikenakan terhadap mereka apabila pawagam masih ditutup, sedangkan aktiviti riadah yang lain seperti gimnasium, spa dan kasino telah dibenarkan kembali berniaga.

Menurut MAFE, arahan penutupan pawagam ini terus melumpuhkan industri pawagam Malaysia, yang sememangnya telah mencatatkan kerugian sehingga 90% pendapatan tahun ke tahun dan mengalami jumlah kerugian lebih daripada RM500 juta pada 2020 sahaja. Ia ternyata jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, di mana industri ini secara keseluruhannya telah menyumbang lebih RM1.08 bilion pendapatan dan lebih RM250 juta duti cukai hiburan kepada negara.

Antara impak yang amat buruk ke atas industri ini adalah ramai kehilangan pekerjaan, banyak pawagam terpaksa gulung tikar, dan semua pemilik pawagam terpaksa mengecilkan operasi mereka. Ada juga di kalangan kakitangan pawagam yang terpaksa menerima potongan gaji sehingga 70%. Kerugian paling besar setakat ini ialah pengunduran pengendali pawagam ketiga terbesar di Malaysia iaitu MBO Cinemas, yang terpaksa melakukan pelupusan secara sukarela.

Krisis ini tidak terhenti kepada industri pawagam semata-mata. Ia memberi kesan kewangan yang melibatkan ribuan pekerjaan merangkumi rantaian bekalan yang lebih besar, iaitu keseluruhan perniagaan hujung ke hujung termasuk syarikat-syarikat kecil dalam bidang pembuatan, logistik, pembersihan, makanan dan minuman, serta peruncitan, antara lainnya. Kesan buruk secara langsung ke atas keseluruhan industri filem Melayu tempatan, di mana lebih 20,000 rakyat Malaysia ketika ini bekerja di dalam bidang pembuatan dan produksi filem, kreatif, pengedaran, bakat-bakat dan banyak lagi.

Pengasas Skop Production Sdn Bhd, Datuk Dr. Yusof Haslam berkata, “Sebagai pembikin filem tanahair, kami amat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan tiga buah filem seperti Abang Long Fadil 3, Polis Evo 3, dan Mat Kilau. Jumlah pelaburan yang besar sebanyak RM20 juta telah pun dikeluarkan untuk penerbitan tiga buah filem tersebut. Penguatkuasaan SOP yang agak ketat ke atas industri kreatif juga memberikan kesan negatif kepada seluruh kelompok warga seni yang terlibat.

Pihak kerajaan perlu perhalusi masalah ini sebelum keadaan menjadi lebih parah. Kerugian yang ditanggung oleh pengusaha pawagam sejak pelaksanaan PKP pertama pada tahun 2020 hinnga ke hari ini perlu diambil kira. Tidak mustahil industri pawagam akan lumpuh sepenuhnya dan adalah sukar untuk dipulihkan.”

Pengerusi MAFE, Jeneral (Bersara) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Mohd Ghazali Dato’ Mohd Seth berkata, “Memandangkan ada beberapa industri bukan keperluan utama telah dibenarkan untuk beroperasi semula dalam tempoh beberapa minggu yang lalu, kami yakin bahawa para pengguna dapat melihat wujud perbezaan di mana ada sesetengah perniagaan yang boleh dibuka semula dan ada yang tidak boleh. Industri pawagam tidak lagi mampu menanggung penutupan lebih lama dan ianya pasti akan lumpuh, menjejaskan kehidupan setiap rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam keseluruhan rantaian bekalan. Kami berharap agar Kerajaan dapat mempertimbangkan semula secara serius keputusan mereka untuk membenarkan kami kembali beroperasi.”

Bantuan berjumlah RM225 juta yang diumumkan kerajaan pada Jun lepas, tidak memberi peruntukan langsung kepada pawagam. Malah Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November 2020, turut menganaktirikan pawagam. Hingga ke hari ini, pengendali pawagam masih belum menerima sebarang bentuk bantuan kewangan atau pakej rangsangan daripada Kerajaan.

Beberapa rayuan secara bersama untuk mendapatkan bantuan daripada Kerajaan melalui melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), telah dipohon oleh MAFE. Antaranya ialah pengecualian atau pengurangan cukai hiburan untuk pemamer filem.

Kajian yang dijalankan oleh Celluloid Junkie pada Oktober menunjukkan bahawa, tiada satu pun kluster COVID-19 yang pernah dijejaki datangnya dari pawagam, termasuklah di peringkat global. Walaupun pengendali pawagam telah melakukan segala yang terbaik, namun mereka masih tidak dibenarkan untuk beroperasi.

MAFE yakin, pematuhan SOP dan sentuhan fizikal yang minimum di kalangan penonton, menjadikan pawagam salah satu tempat hiburan di luar rumah paling selamat. MAFE menggesa Kerajaan Malaysia agar mempertimbangkan semula pembukaan pawagam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: