Hiburan

Neraca taruhan Jamal Abdillah, Kmy Kmo dan Luca Sickta

Kuala Lumpur – Gandingan duo rapper yang juga komposer, Kmy Kmo dan Luca Sickta tidak perlu diperkenalkan lagi. Hasil kerja dan kualiti yang ditonjolkan dalam setiap karya membuatkan jenama mereka kian kukuh.

Tidak hairan jika ramai penyanyi mahu mendapatkan sentuhan mereka sebagai komposer atau bekerjasama dalam lagu.

Kejayaan lagu 7 Nasihat nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza membuktikan Kmy Kmo dan Luca Sickta tidak boleh dipandang sebelah mata.

Lagu sebelumnya, Zuhud kolaboratif bersama Datuk M Nasir juga mewujudkan magis tersendiri.

Tidak terhenti setakat itu, sentuhan kedua mereka bakal mencetuskan fenomena terbaharu dalam industri muzik tempatan menerusi lagu Neraca yang sudah dilancarkan sejak19 Februari lalu.

Menariknya, Kmy Kmo dan Luca Sickta sekali lagi menampilkan penyanyi legenda sebagai rakan duet mereka iaitu Datuk Jamal Abdillah.

Luca Sickta atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin berkata, daripada awal lagi mereka sudah membayangkan Jamal Abdillah menyanyikan lagu itu.

“Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini, dia menyanyi ala suara Datuk Jamal. Malah, daripada awal lagi kami sudah pasang niat, alangkah menarik jika Datuk Jamal dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami apabila Datuk Jamal bersetuju.

“Awalnya, muzik lain. Tapi, selepas Datuk Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal.

“Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden. Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini.

“Sepanjang proses rakaman, Datuk Jamal sangat mengalu-alukan kami. Kami menjangkakan dia seorang legenda yang ‘diva’, tapi dengan kami dia okay.

“Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,” katanya.

Mengenai pemilihan penyanyi bertaraf legenda dan Datuk yang bekerjasama dengan jenama Kmy Kmo dan Luca Sickta, Luca berkata, itu adalah ‘wish list’ dan cita-cita mereka sejak di awal pembabitan dalam bidang penulisan dan penciptaan lagu lagi.

“Kami sudah menunggu lama peluang sebegini. Kami dari zaman sekolah lagi sudah menghasilkan muzik. Sejak itu kami bercita-cita nak bekerjasama dengan penyanyi legenda. Diakui kami memang ada senarai nama penyanyi-penyanyi itu.

“Bukan nak bekerjasama dengan penyanyi legenda yang bergelar Dato’ saja, tapi ia lebih kepada ingin merealisasikan impian. Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda. Setakat ini kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu. Tinggal lagi genre rock pula.

“Insya Allah, selepas itu baru kami ke senarai penyanyi ‘A list’ pula. Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Dalam masa sama, kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus,” katanya.

Masih mengekalkan genre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae, lagu Neraca sudah dihasilkan sejak 2018 lagi.

Menurut Kmy Kmo atau nama sebenarnya Lukmanul Hakim, lagu Neraca diperam selama dua tahun dan menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

“Alhamdulillah pertengahan tahun lalu, kebetulan Datuk Jamal jalinkan kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia.

“Proses rakaman dibuat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ambil masa tidak sampai sejam.

“Ketika proses rakaman, beliau tanya boleh tidak jika mahu buat impovisasi pada nyanyian. Mendengarkan pertanyaan itu, kami sebenarnya lebih suka.

“Beliau buat adlib dan lenggok tersendiri. Sekali dengar lagu ini pun sudah tahu itu suara Datuk Jamal. Cara itu mengingatkan kami kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza ketika rakaman 7 Nasihat yang mana turut bertanya perkara sama,” ujarnya,

Berkongsi mengenai lagu itu, Neraca boleh dikatakan kesinambungan daripada lagu Zuhud yang dilancarkan pada Disember 2019.

“Bagi kami, lagu Neraca ini adalah kesinambungan mesej lagu Zuhud. Jadi dalam lagu ini ia merangkumi keseluruhan dan seimbangkan mengenai kehidupan yang berlaku sekarang. Apatah lagi dalam zaman media sosial, gejala sosial semakin menjadi-jadi.

“Faktor terbuka dijadikan alasan untuk buat masalah. Lirik lagu ini kami menyenyuh soal ketuhanan. Malah, dalam video muzik pula mengenai manusia yang terikat dan suka leka dengan apa yang ada di atas muka bumi.

“Cuma apa boleh dikatakan, muzik lagu ini berat daripada Zuhud. Apa pun ikut selera pendengar juga. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Jamal Abdillah menyifatkan kerjasama dengan Kmy dan Luca dalam lagu Neraca adalah satu pengalaman baru selain menyifatkan kedua mereka sangat berbakat.

“Proses rakaman sangat santai, mudah dan tidak terlalu sukar. Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka berdua sangat berbakat.

“Begitu juga ketika proses penggambaran video muzik, ia penuh erti yang tersurat yang perlu dihayati. Mesej yang ingin disampaikan agak kuat.

“Ia berkisar mengenai perjalanan manusia dalam menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa.

“Banyak mesej bagus dan ditampilkan dengan keunikan yang lain daripada lain. Ia sekaligus membuatkan lagu ini sesuatu yang sangat bererti buat saya sebagai penyanyi era lama dalam penghasilan video muzik.

Lagu Neraca boleh didengari di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBOX dan YouTube Music. Manakala video muzik rasmi lagu Neraca boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: