KUALA LUMPUR – Seramai 828 rakyat Malaysia yang menetap di luar negara disahkan dijangkiti COVID-19 sejak tahun lalu.
Menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar, angka itu meliputi rakyat Malaysia yang berada di 38 buah negara.
Warga Malaysia yang tinggal di negara jiran Singapura, antara paling ramai positif COVID-19.
Beliau berkata demikian, selepas menghadiri program Jelajah Malaysia Prihatin di Bandar Tun Razak, Cheras.
Mengenai perkembangan situasi rakyat Malaysia di Chile susulan perintah kuarantin di negara itu, beliau berkata setakat ini tiada rakyat Malaysia yang dijangkiti COVID-19.
Tambahnya, pihak kedutaan Malaysia di Chile memantau situasi terkini dan sentiasa berhubung dengan rakyat terlibat.
Isnin lalu, kerajaan Chile mengumumkan lebih 13 juta penduduknya akan dikuarantin bermula Selasa berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia.