Terkini

Kualiti minyak masak bungkus setanding dalam botol, bukan kitar semula

KUALA LUMPUR – Kualiti minyak masak olein dalam bungkusan plastik satu kilogram (kg) yang dijual di pasaran tempatan menepati kualiti ditetapkan dan bukan minyak kitar semula, kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Beliau berkata, harga minyak masak dalam bungkusan plastik satu kg di pasaran dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), justeru harga runcit tidak boleh dinaikkan melebihi harga kawalan RM2.50 ditetapkan.

“Tanggapan bahawa minyak masak dalam bungkusan plastik satu kg yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti yang lebih rendah adalah salah. Harga minyak masak dalam bungkusan plastik satu kg disubsidi dan dikawal oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Oleh itu kata beliau, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak di dalam botol di pasaran.

Beliau menjelaskan, subsidi ke atas minyak masak plastik tersebut memastikan harga kekal RM2.50 sebungkus walaupun harga minyak sawit mentah di pasaran meningkat, bertujuan mengurangkan beban hidup pengguna dalam mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan.

“Subsidi bersasar ini bagi pengguna yang membeli minyak masak dalam bungkusan plastik satu kg untuk kegunaan sendiri khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.

“Minyak masak dalam botol dipasarkan dengan pelbagai jenama memberi pilihan kepada pengguna golongan pertengahan dan atasan yang sanggup membayar harga lebih tinggi berbanding minyak bungkusan plastik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 49 kilang penapis yang aktif beroperasi serta 312 syarikat membungkus minyak masak bagi bekalan kegunaan pasaran tempatan yang dianggarkan sebanyak satu juta tan setahun.

Katanya, MPOB menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran mendapati kualiti dan ciri-ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Beliau berkata, ia meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol).

Pada 2020, Malaysia mengeluarkan 19.14 juta tan minyak sawit mentah dan penggunaan minyak masak olein untuk pasaran tempatan hanya merangkumi 4.1 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah negara.

– Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: