KUALA LUMPUR – Lima pengarah bebas bukan eksekutif Serba Dinamik Holdings Bhd meletakkan jawatan daripada lembaga pengarahnya.
Lima pengarah bebas itu ialah Rozilawati Basir, Sharifah Irina Syed Ahmad Radzi, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman, Hasman Yusri Yusoff and Masleena Zaid, menurut beberapa makluman Serba Dinamik kepada Bursa Malaysia hari ini.
Empat daripada mereka meletakkan jawatan atas alasan tidak sependapat dan tidak bersetuju dengan keputusan Serba Dinamik yang mengambil tindakan guaman ke atas auditor luarnya, KPMG.
Hanya Masleena, yang baru-baru ini dilantik ke dalam lembaga pengarah itu menyatakan alasan ‘komitmen peribadi’ dalam peletakan jawatannya.
KPMG semalam mengumumkan ia telah meletak jawatan sebagai pengaudit luar Serba Dinamik berkuatkuasa serta-merta selepas ia menerima notis saman pada 23 Jun lalu.
Saham Serba Dinamik menjunam ke paras terendah sepanjang masa iaitu 40 sen hari ini, sebelum naik sedikit kepada 41 sen pada penutupan.