KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) berpandangan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu diadakan secara kendiri berpandukan syarat ketat pencegahan penularan COVID-19. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Amiruddin Hamzah, dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia selari dengan amalan dilaksanakan ketika persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, tahun lalu. 

Beliau berkata, persidangan kedua-dua Dewan berkenaan berjaya dilaksanakan tanpa ada sebarang jangkitan atau mewujudkan kluster Parlimen, pada tahun lalu. 

“Tambahan, ketika itu semua yang menyertai persidangan belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, tidak seperti sekarang di mana hampir keseluruhan Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen sudah sempurna mendapat suntikan vaksin diperlukan.

“Pegawai pengiring Ahli Parlimen sedang diusahakan untuk mendapat suntikan (vaksin COVID-19) secepat mungkin. 

“Ia haruslah dilaksanakan segera secara kendiri bagi memenuhi tanggungjawab ahli Parlimen membahas serta memutuskan tindakan perlu bagi membawa negara keluar daripada krisis kesihatan, politik, ekonomi dan sosial,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Khas Pemandu Persidangan Parlimen Secara Hibrid dilapor mencadangkan persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan akhir Ogos ini, atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Tarikh berkenaan bagaimanapun, tertakluk kepada aspek perundangan di peringkat Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat dapat diselesaikan, akhir Julai ini.

Jawatankuasa khas itu turut mencadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan awal Ogos, tertakluk prosedur operasi standard (SOP) ketat dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jawatankuasa itu dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, selain dianggotai Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha kedua-dua Dewan serta urus setia Parlimen Malaysia.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading