KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersedia memberi lebih banyak bantuan strategik ekonomi kepada golongan B40 dan M40 serta perniagaan mikro dan kecil mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ia antara cadangan dikemukakan Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), Ahmad Yazid Othman untuk pertimbangan kerajaan bagi dilaksanakan dalam tempoh 30 hari berikutnya.
Ahmad Yazid berkata, bantuan itu perlu benar-benar memacu pemulihan ekonomi sebelum negara memasuki Fasa Empat PPN, dengan strategi terbabit perlu dirangka kena pada tempatnya atau perniagaan terpaksa ditutup dalam tempoh beberapa bulan selepas ini.
“Kerajaan perlu sediakan moratorium sebenar untuk semua, bebas faedah dengan kos minimum ditetapkan bagi setiap pinjaman namun tidak membiarkan bank untuk membuat keputusan sekurang-kurangnya sehingga kita memasuki Fasa Empat PPN.
“Ia perlu membabitkan semua syarikat kredit dan pajakan lain. Apa yang ditawarkan ketika ini adalah seperti menyapu garam pada luka kerana hanya mereka yang mampu saja tidak akan menerima moratorium.
“Pada akhirnya, ia akan mencipta lebih banyak hutang oleh mereka yang terkesan akibat pandemik walaupun bank memperoleh berbilion daripadanya pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama enam bulan akan diberikan kepada semua individu tanpa mengira golongan B40, M40 atau T20 serta pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas.
Pemberian moratorium itu tidak memperuntukkan sebarang syarat seperti pengurangan pendapatan dan tiada semakan bagi mengesahkan sama ada pemohon hilang pekerjaan. Pemohon hanya perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
Ahmad Yazid berkata, moratorium juga perlu diberikan kepada mereka yang gagal melunaskan hutang sebelum ini dan tiada tindakan penyitaan yang harus diambil.
“Pertimbangkan lebih banyak pemindahan wang kepada B40 dan M40 untuk enam bulan, selain kupon bulanan bagi mengelak pembaziran dan ketirisan melalui inisiatif bank makanan hasil sumbangan awam atau peruntukan yang diberikan kepada setiap Ahli Parlimen.
“Pertimbangkan juga subsidi upah kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk enam bulan, berbanding empat bulan dan ia tidak perlu meliputi mereka dalam kategori T20,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya mempunyai mekanisme untuk terus berhubung dengan pelbagai pemegang taruh daripada pakar dan persatuan sehingga kepada mereka di peringkat bawah.
“Ini disebabkan rakyat ketika ini akan meluahkan kemarahan mereka di media sosial jika tidak berpuas hati dengan pengumuman kerajaan menyebabkan kerajaan seterusnya membuat pusingan U yang boleh disifatkan memalukan.
“Selain itu, sebarang pembukaan sektor ekonomi perlu berasaskan kepada sejarah dan data saintifik, termasuk perniagaan yang berkemungkinan akan meningkatkan penularan COVID-19. Kita tidak boleh membuat keputusan berdasarkan kepentingan ekonomi segelintir pihak,” katanya.