Terkini

Diskaun 50 peratus bayaran pajak tanah Persekutuan

KUALA LUMPUR – Semua pemajak tanah Persekutuan dalam sektor yang terjejas teruk berikutan pandemik COVID-19 diberikan diskaun bayaran pajakan sebanyak 50 peratus pada tahun ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata antara pemajak yang dikenal pasti paling teruk terjejas dan memerlukan masa untuk kembali pulih terdiri daripada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan pelabuhan.

Beliau berkata, bagi pemajak yang tidak memenuhi kriteria untuk mendapatkan diskaun, mereka boleh membuat penjadualan semula bayaran serta dikecualikan daripada denda lewat bayar.

Katanya, inisiatif itu adalah pendirian kerajaan yang prihatin dengan beban dihadapi segenap masyarakat dan sektor terbabit ketika penularan COVID-19.

“Kerajaan bersetuju dengan inisiatif membantu pemajak tanah Persekutuan yang terbabit dalam sektor terjejas teruk melalui pemberian diskaun kadar pajakan sebanyak 50 peratus bagi tahun 2021 daripada nilai kadar pajakan tahunan kepada pemajak yang memenuhi kriteria ditetapkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Sekiranya pemajak tidak memenuhi kriteria yang membolehkan pengurangan kadar pajakan diberikan, pemajak boleh mengemukakan permohonan penjadualan semula bayaran pajakan bagi tahun 2021 kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta dikecualikan denda lewat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh memajak tanah Persekutuan kepada pihak lain berdasarkan Seksyen 221 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dengan menandatangani Perjanjian Pajakan mengikut tujuan yang dibenarkan dan dikenakan bayaran pajakan secara tahunan.

Sementara itu, Shamsul Anuar berharap inisiatif itu dapat membantu pemajak menyusun semula aliran tunai mereka.

“Ini bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah Persekutuan di samping mengelakkan tanah terbabit terbiar,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: