KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan memberi penjelasan mengenai semua perkara berkaitan Ordinan Darurat, termasuk pembatalannya di Dewan Rakyat, Isnin ini.
Takiyuddin memaklumkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sudah membuat satu petua semalam, yang mana semua persoalan dan isu dibangkitkan Ahli Parlimen berhubung perkara itu dijawab pada hari berkenaan.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, hari ini.
Dewan Rakyat semalam dimaklumkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini dan sudah menarik balik semua Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.
Ia berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat dibatalkan.