Kuala Lumpur – Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seti Azalina Othman Said meletakkan jawatannya pada isnin.
Beliau menyatakan tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada kerajaan dan pembangkang menetapkan kembali fungsi Parlimen.
Katanya, Pelantikan Perdana Menteri baharu dan permintaan jelas dari masyarakat, serta kerjasama antara parti antara sebab peletakan jawatannya itu.
“Antara fokus saya adalah bagi memberikan lebih banyak ruang kepada kerajaan dan pembangkang untuk menetapkan semula Dewan Rakyat supaya persidangan Parlimen pada Ogos ini akan berfungsi sebagai forum untuk persaingan yang profesional dan kerjasama pelbagai parti dalam pentadbiran dan pembuatan polisi” katanya.
Beliau juga menyatakan sokongan apa sahaja reformasi yang mahu dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang berdasarkan kepada kebijaksanaan bersama.
Azalina juga turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak sepanjang 13 bulan beliau menjawat jawatan tersebut.
“Tindakan untuk melepaskan jawatan dibuat kerana berlakunya isu konflik kepentingan kerana saya seorang Ahli Parlimen daripada parti yang membentuk kerajaan” tambahnya.
Beliau turut berpendapat, pada masa akan datang, Speaker dan Timbalan Speaker untuk Dewan Rakyat harus digantung daripada mana-mana jawatan parti politik untuk memastikan tidak berlakunya situasi berat sebelah dalam menentukan keputusan.
