Kuala Lumpur – Tan Sri Annuar Musa mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sejurus dilantik memegang portfolio sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Beliau dalam kenyataannya juga turut menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah atas perkenan baginda melantiknya sebagai antara barisan kabinet Perdana Menteri kesembilan itu.
Tambahnya, kepercayaan dan amanah yang diberikan ini adalah satu penghormatan yang amat besar baginya dan rakyat di Parlimen Ketereh serta UMNO dan Barisan Nasional.
Beliau juga membawa harapan untuk terus komited dalam merangka hala tuju KKMM supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara agar seluruh Keluarga Malaysia memperolehi manfaatnya.
Menyedari bahawa KKMM mempunyai peranan yang sangat penting, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berhadapan cabaran pandemik Covid-19, pemulihan ekonomi dan keperluan pemerkasaan sektor digital di samping meningkatkan kehidupan rakyat seharusnya menjadi fokus utama.
“InsyaAllah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin”.
“Saya berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi agensi di bawahnya.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun dibawah kepimpinan YAB Dato’ Sri lsmail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia ke 9” katanya dalam satu kenyataan media.