Terkini

Yayasan Peneraju kekal komited meramaikan bakat Bumiputera profesional dan berkemahiran tinggi

KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyambut baik bajet 2022 yang dibentangkan oleh menteri kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini khususnya dalam memberi penekanan kepada agenda pemerkasaan Bumiputera.

Mengulas pengumuman bajet itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Kol Bersekutu (PA) Ts. Mohd Muzzammil Ismail berkata bajet 2022 secara keseluruhannya adalah manifestasi jelas terhadap komitmen kerajaan dalam memacu pemulihan Malaysia untuk kembali kepada sebuah negara membangun yang disokong oleh sosio-ekonomi yang mampan dan sihat.

Menteri kewangan mengumumkan agenda pemerkasaan Bumiputera akan terus diberi penekanan di bawah Strategi 2: Membangun sebuah Keluarga Malaysia, Inisiatif 1: Pembangunan Bumiputera dan Syiar Islam dan sejumlah RM6.6 bilion telah diperuntukkan untuk tujuan pendidikan termasuk pinjaman pendidikan, menaik taraf program daripada sijil kepada diploma serta usaha melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera di bawah agensi seperti Yayasan Peneraju, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). 

“Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, matlamat utama kami adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui pendidikan akademik, TVET, profesional, teknologi dan pensijilan spesialis. Kumpulan sasaran kami sebahagian besarnya adalah penerima manfaat daripada golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang mempunyai latar belakang mencabar.

“Kami kekal fokus untuk memperkukuh pembinaan kapasiti profesional Bumiputera berkualiti dan berkemahiran tinggi berdasarkan permintaan industri dan pasaran.

“Saya yakin suntikan dana ini akan merangsang Yayasan Peneraju untuk meluaskan akses kepada kumpulan sasar serta memperkenalkan program-program baharu yang memenuhi keperluan ekonomi semasa dan pasaran pekerjaan,” kata Muzzammil.

Untuk tahun 2022, Yayasan Peneraju akan memberi tumpuan kepada program menaik taraf latihan (upskill) dan melatih semula (re-skill) supaya tenaga kerja lebih bersedia untuk kekal relevan dalam dunia pasca COVID-19, serta memperluaskan tawaran program mengikut permintaan pasaran dan industri selain meneruskan program sedia ada.

Yayasan Peneraju menyasarkan untuk membiaya lebih 10,000 bakat Bumiputera baharu dan lebih 6,500 penerima faedah sedia ada yang sedang menjalani latihan dalam bidang berimpak tinggi dan khusus kewangan, perakaunan, teknologi, spesialis dan program berkemahiran tinggi.

“Pandemik COVID-19 di Malaysia telah memberi kesan besar kepada keseluruhan ekosistem negara meliputi ekonomi, perniagaan dan masyarakat. Krisis ekonomi negara menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan sehingga memberi tekanan kepada rakyat,” tambah Muzzammil.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kesan pandemik telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat daripada 3.3 peratus pada 2019 kepada 4.5 peratus pada 2020, paras tertinggi sejak 1993 iaitu 4.3 peratus. Dilaporkan juga bahawa golongan belia merupakan antara kumpulan yang paling teruk terjejas akibat krisis COVID-19.

“Sama ada mereka terdiri daripada graduan, pencari kerja atau profesional muda, golongan belia selalunya paling terdedah kepada pergolakan ekonomi.

“Justeru, bajet yang diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju pastinya bermanfaat untuk membantu golongan yang mudah terjejas ini dan lebih ramai bakat Bumiputera yang mampu menceburi kerjaya berpendapatan tinggi dan berdaya saing di peringkat global,” kata Muzzammil.

Yayasan Peneraju menawarkan program profesional seperti ACCA FIA, ICAEW, CFA dan FRM. Dalam pada itu, kami juga menawarkan kursus dalam talian di bawah High Impact Programme (HIP), di mana ia meliputi bidang Kewangan, Pemasaran Digital, Halal, Kebolehpasaran Pekerjaan dan Pelabelan Data demi memberi peluang kepada mereka yang sedang mencari sijil tambahan untuk menaik taraf latihan (upskill) dan melatih semula (re-skill) diri mereka.

Bagi Peneraju Teknologi, program yang ditawarkan termasuk pensijilan yang mendapat permintaan tinggi seperti Big Data, Cybersecurity, Cloud Computing Blockchain Hyperledger, manakala program berkemahiran tinggi yang ditawarkan termasuk Dynamic Position Officer, Specialist in CAD/CAM – Advanced Computer Numerical Control and Manufacturing, System Integration in Automation & Robotics, Welding Inspector Level 1 & 2 dan Oil dan Gas Talent Acceleration (Scaffolding Level 3). 

Yayasan Peneraju bekerjasama rapat dengan pemain industri, rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan program yang ditawarkan berkualiti tinggi, relevan dan mampu meningkatkan kebolehpasaran penerima faedahnya. Selain itu, penempatan kerja menjadi keutamaan Yayasan Peneraju dengan pendekatan Train & Place atau Place & Train bagi memastikan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat program.

Dalam tempoh sembilan tahun sejak penubuhannya, Yayasan Peneraju telah berjaya memanfaatkan lebih 40,000 individu melalui lebih 350 program pembiayaan merangkumi pelbagai segmen Bumiputera di seluruh Malaysia termasuk B40, M40, luar bandar dan golongan terpinggir.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: