Nilai – Syarikat pembekal, pengilang dan pengeksport barangan perubatan, Kumpulan Star Medik hari ini melancarkan lima sektor ekonomi termasuk satu Yayasan Sayang Masyarakat.
Pelancaran itu melibatkan sektor pengilangan, pembuatan dan perkhidmatan dalam dan luar negara antaranya seperti kilang pengekstrak pati serai, pelancongan perubatan, klinik kesihatan, kilang pastri dan kilang peranti perubatan di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hj. Tajuddin Abdul Latif menjelaskan pelancaran lima gerak kerja itu bagi menggalakkan serta merancakkan perkembangan eknomi negara yang mampan.
Melalui anak syarikat bio teknologi, Tropical Bioessence Sdn Bhd, sebanyak 75 tan ekstrak pati serai dihasilkan sehari sekali gus jumlah 1800 tan sebulan bagi menampung permintaan tinggi untuk industri farmaseutikal dan kosmetik.
“Sejumlah 300 ekar tanah diperlukan bagi memenuhi permintaan serai dan secara langsung ini dapat memberi pulangan semula dalam bentuk peningkatan ekonomi kepada pekebun kecil.
“Kilang ini juga dapat membantu penduduk kampung menjana pendapatan di beberapa buah negeri khususnya Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan pelancaran semula ATN Travel Tour Corporation bagi pemfokusan industri pelancongan kesihatan dengan kolabrasi beberapa buah hospital kerajaan dan swasta dalam perubatan penyakit kritikal, diabetik dan post-stroke serantau.

Bagi membantu rawatan khas pesakit, projek wellness clinic turut dilancarkan dan bakal dibuka di Negeri Sembilan pada suku pertama tahun 2022.
Star Medik membelanjakan lebih RM3 juta bagi peralatan mesin terapi oksigen, terapi hidro, terapi plasma dan pelbagai lagi.
“Kita juga telah menandatangani perjanjian dengan PT Binabakti bagi menubuhkan kilang peranti perubatan di Indonesia khusus menghasilkan Disopsble prefilled bubble humidfier.
“Ini bukan sahaja membantu meningkatkan eknomi dua buah negara namun seluruh negara serantau” tambahnya.
Bagi membantu komuniti desa, sebuah kilang pembuatan makanan bakal dibuka juga pada suku pertama tahun hadapan di Masjid Tanah, Melaka.
Antara produknya adalah sejenis manisan Turki iaitu baklava dengan jenama Usto Food yang akan dipasarkan dalam pasaran temptan dan luar negara.
Tambahnya lagi, satu Yayasan Sayang Masyarakat (YSM) turut dilancarkan dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
“YSM ini bukan sahaja membantu yang memerlukan dalam bentuk CSR, tetapi lima sektor yang digerakkan itu nanti sebagai memberi pulangan kembali kepada masyarakat dalam bentuk peluang pekerjaan, pendapatan, perubatan dan perkhidmatan” jelasnya dalam satu sidang media di ibu pejabat Star Medik Group.