Petaling Jaya – Kemunculan banyak restoran makanan arab sekarang ini bagai satu fenomena bagi memenuhi permintaan selera masyarakat tempatan.
Bermula dengan pembukaan cawangan pertama di kompleks beli belah Pavilion, Kuala Lumpur, Dubai Food Gallery kini meluaskan sayapnya dengan melancarkan cawangan kedua di pusat beli belah Tropicana Garden, Petaling Jaya hari ini.

Merupakan restoran yang menyajikan pelbagai hidangan makanan arab dari Dubai yang dimasak dengan baik oleh cef berpengalaman. Restoran berkonsep kasual ini juga menawarkan pelbagai hidangan seperti Nasi Arab, Shawarma, daging panggang, Baklava, masakan Khabsa dan pelbagai lagi.


Pengurusnya, Ahmad Muaaz yang telah bermastautin di Malaysia selama 9 tahun merasakan pembukaan restoran ini dalam fasa endemik tidak sedikitpun memberi kesan namun beranggapan Malaysia adalah negara yang menjadi pilihan terbaik dalam bidang perniagaan sajian makanan,
“Rakyat Malaysia sangat menggemari makanan arab, ini terbukti apabila cawangan pertama kami mendapat sambutan yang baik setakat ini.
“Restoran kami dibuat dengan konsep ‘food court’ bagi memudahkan pelanggan memesan dan melihat cara penyediaan makanan itu” katanya.

Dalam masa sama, pemilik restoran, Hadi Gali menyatakan perancangannya untuk membuka beberapa lagi cawangan restoran bermula Julai hadapan.
“Alhamdulillah, sambutan restoran ini sangat baik dan InsyaAllah kami akan melancarkan beberapa cawangan lagi di Pavilion 2 Bukit Jalil, Alamanda, IOI Putrajaya, KLCC dan Shah Alam” jelasnya.
Tambahnya lagi, menu nasi Arab disini mungkin sama seperti di kebanyakan restoran sajian Asia Barat lain di negara ini, cuma apa yang berbeza adalah cara penyediaan dan resipi tersendiri yang membuatkan ianya sedikit lain dari yang lain.
“Untuk nasi Arab disini, kami olah sambal cili sedikit pedas dan masam yang bersesuaian dengan selera rakyat Malaysia” jelasnya lagi.


Dalam pada itu, sebagai memberi lebih pilihan kepada pelanggan, Dubai Food Gallery juga turut menyajikan menu istimewa lain seperti piza Arab, roti coklat, Kofta beef dan kebab kambing.

Malah, bagi kemudahan restoran ini turut menyediakan ruang surau mini bagi memudahkan pelanggan solat.