Kuala Lumpur – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu.
Pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM adalah bagi tempoh 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024.
Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UiTM terdahulu berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook Istana Negara, memaklumkan keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut barisan pengurusan tertinggi UiTM.
“Seri Paduka Baginda, di dalam Titah Diraja sempena istiadat tersebut, menyeru kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) agar menerapkan elemen kejujuran, amanah dan integriti dalam setiap jiwa mahasiswa.
“Seri Paduka Baginda bertitah pembudayaan integriti hendaklah wujud dalam setiap jiwa dan sanubari rakyat bermula daripada bangku sekolah dan terus ditanam serta diperkasakan ketika di menara gading,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda turut memuji pencapaian graduan UiTM yang telah berjaya mencipta nama di persada dunia menerusi pencapaian akademik yang cemerlang, khususnya para graduan daripada bidang perakaunan.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dengan prestasi dan pencapaian UiTM yang kini berada pada kedudukan yang membanggakan dalam senarai penarafan universiti di Asia dan dunia pada 2021 dan 2022,” katanya.
Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 berlangsung secara bersemuka bermula hari ini hingga 6 Julai ini menyaksikan seramai 27,287 graduan akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 169 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah; 1,243 Ijazah Sarjana; 62 Profesional; 163 Diploma Lepasan Ijazah; 9,024 Ijazah Sarjana Muda dan 16,626 graduan menerima Diploma.