Kuala Lumpur – Jenama pakaian global UNIQLO hari ini mengumumkan pelancaran di seluruh dunia reka bentuk baharu bagi projek kemeja-T amal PEACE FOR ALL yang sedang berlangsung, tersedia mulai Jumaat, 19 Jun. Hasil sokongan padu pelanggan sejak projek ini dilancarkan pada tahun 2022, lebih daripada 10 juta helai kemeja-T telah terjual di seluruh dunia, dengan jumlah sumbangan mencecah RM79 juta sehingga akhir April 2026. Semua keuntungan daripada jualan kemeja-T PEACE FOR ALL disalurkan kepada organisasi rakan amal.
Antara kolaborator baharu projek ini ialah:
- Ke Huy Quan, yang mula dikenali sebagai pelakon kanak-kanak menerusi filem pecah panggung seperti Indiana Jones and the Temple of Doom dan The Goonies, serta telah memenangi pelbagai anugerah dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau juga merupakan bekas pelarian.
- Sofia Coppola, pengarah dan penulis skrip yang terkenal menerusi filem seperti Lost in Translation dan Marie Antoinette.
- Displacement Film Fund (DFF), yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai isu pelarian melalui kuasa filem, dan UNIQLO merupakan salah satu rakan pengasasnya. Keuntungan yang dijana daripada jualan kemeja-T rekaan Displacement Film Fund akan disalurkan semula kepada DFF bagi menyokong misinya memperjuangkan serta membiayai karya pembikin filem yang terpaksa berpindah, serta pembikin filem yang menghasilkan penceritaan autentik mengenai pengalaman golongan yang dipindahkan. R
Rekaan baharu daripada kolaborator projek terdahulu, iaitu pencipta Miffy, Dick Bruna, dan PEANUTS, turut akan diperkenalkan, menjadikan jumlah keseluruhan lima kemeja-T grafik baharu UNIQLO yang membawa mesej dan harapan untuk keamanan.
Mengulas mengenai inisiatif ini, Koji Yanai, Pegawai Eksekutif Kumpulan Kanan Fast Retailing Co. Ltd, syarikat induk UNIQLO, berkata: “PEACE FOR ALL ialah sebuah projek yang berkongsi hasrat untuk keamanan melalui tindakan harian yang sederhana iaitu memakai kemeja-T. Hasil sokongan ramai terhadap inisiatif ini, kami telah mencapai satu pencapaian penting dengan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak RM79 juta.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pelanggan yang membeli kemeja-T ini, para kolaborator yang menyokong projek ini, serta organisasi rakan kongsi kami. Kami percaya bahawa keinginan untuk keamanan terletak dalam pilihan dan tindakan harian kita, bukannya sesuatu yang luar biasa. Kami berharap mereka yang berkongsi visi PEACE FOR ALL akan menyebarkan mesej ini, menghadiahkannya kepada insan tersayang, dan agar kemeja-T ini dapat membantu memperluaskan semangat serta tindakan ke arah keamanan.”
Mengenai rekaan baharu PEACE FOR ALL
Ke Huy Quan menggabungkan frasa “Keep Smiling”, salah satu ungkapan kegemarannya, dengan ilustrasi wajah senyum yang dilukis tangan dan sering digunakan dalam tandatangannya, bagi menyampaikan mesej yang menggalakkan pemikiran positif.
Sofia Coppola memilih gambar seekor angsa yang meluncur tenang di atas permukaan air, membangkitkan rasa ketenangan, disertai mesej tulisan tangan “Peace for All”. Rekaan Displacement Film Fund pula berasaskan kata-kata mengenai keamanan yang disumbangkan oleh pembikin filem yang pernah menerima sokongan daripada dana tersebut, sebagai simbol hasrat untuk menyampaikan suara para pelarian kepada dunia melalui kuasa filem.
Rekaan baharu daripada PEANUTS dan Dick Bruna menampilkan nilai kasih sayang dan kekeluargaan menerusi dunia kreatif karya masing-masing. Bersama masyarakat di seluruh dunia,
UNIQLO akan terus memperluaskan inisiatif ini dengan harapan untuk membina masa depan yang membolehkan semua orang hidup dengan selamat, serta merealisasikan keamanan sejagat.
Nama Produk : Kemeja-T Amal PEACE FOR ALL
Tarikh Pelancaran : Jumaat, 19 Jun 2026
Harga : RM59.90
Saiz : XS hingga XXL (saiz yang tersedia di kedai adalah S hingga XL)
Ketersediaan : Di semua kedai UNIQLO dan kedai dalam talian Laman Web Produk : https://www.uniqlo.com/my/en/special-feature/peace-for-all
