Kuala Lumpur – Kerajaan akan melaksanakan operasi pengauditan dan pemutihan secara komprehensif, meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi di seluruh negara.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bertujuan mendapatkan status sebenar mengenai jumlah minyak masak paket dikeluarkan syarikat pengeluaran dan pembungkusan serta maklumat lengkap penerima minyak masak bersubsidi itu.
Sehubungan itu tegasnya, kerajaan mengerah pihak penguatkuasa terdiri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menggempur dari peringkat kilang pembungkusan sehingga ke sempadan negara.
“Ia untuk memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini.
Menurut Ismail Sabri, langkah itu demi memastikan peruntukan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion disalurkan tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.
Katanya lagi, tindakan tegas termasuk membatalkan kuota dan lesen yang diberi kepada pengilang dan pembungkus akan diambil dalam usaha menangani ketirisan pengedaran minyak masak bersubsidi.
“Perangkaan semasa menunjukkan edaran minyak masak paket bersubsidi dalam negara berjumlah 60,000 metrik tan sebulan adalah melebihi penggunaan isi rumah dalam negara.
“Mesyuarat juga bersetuju sekuriti makanan dijadikan keutamaan dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri bagi mengatasi masalah ini yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia.
Dalam masa sama, kerajaan akan memperhebat Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sepanjang masa dengan jualan barangan keperluan asas pada harga lebih murah,” katanya.
Menurutnya, PJKM akan melibatkan kerjasama strategik bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan serta diperluas ke institusi pengajian tinggi.