Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membincang dan menentukan tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan Proklamasi Pembubaran Parlimen Ke-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, perkara itu akan dibincangkan melalui mesyuarat khas yang akan diadakan.
Beliau berkata, mesyuarat itu juga akan mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Pada masa sama, Ikmalrudin berkata, SPR memaklumkan permohonan undi pos bagi dalam dan luar negara untuk PRU15 dibuka serta-merta, namun tarikh tutup permohonan berkenaan akan dimaklumkan kelak selepas mesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya kelak.
Beliau berkata, permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu untuk petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera, serta petugas media perlu memohon secara manual menggunakan Borang 1A.
“Borang 1A boleh dimuat turun daripada portal rasmi SPR di https://www.spr.gov.my dan dihantar ke Pejabat Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya berkenaan. Alamat dan maklumat Pejabat Pegawai Pengurus boleh dirujuk di portal rasmi SPR juga.
“Permohonan bagi Kategori 1B pula iaitu untuk warga Malaysia yang berada di luar negara dan Kategori 1C membabitkan agensi atau organisasi pula, perlu dikemukakan secara dalam talian melalui portal https://myspr.spr.gov.my/login,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa hari ini.