KUALA LUMPUR – Pengalaman menjadi pesawah kini boleh dirasai secara maya apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperkenalkan permainan interaktif berasaskan kecerdasan buatan (AI) menerusi MAHA 2026.
Dikenali sebagai Simulasi Pertanian, permainan berkenaan dibangunkan bagi memberi peluang kepada pengunjung, khususnya golongan muda dan masyarakat bandar, memahami dengan lebih dekat keseluruhan proses penanaman padi.
Menerusi simulasi itu, pemain akan melalui pelbagai peringkat pengurusan sawah bermula daripada penyediaan tanah dan pembajakan, penaburan benih, pembajaan serta penjagaan tanaman sebelum tiba ke peringkat tuaian.

Menariknya, hasil tuaian yang diperoleh pemain bergantung kepada kaedah pengurusan serta penjagaan tanaman yang dipilih sepanjang permainan.
Pendekatan berkenaan bukan sahaja menjadikan pengalaman pertanian lebih interaktif, malah memberi gambaran mengenai cabaran sebenar yang perlu dihadapi pesawah bagi memastikan hasil tanaman berada pada tahap optimum.
Di samping itu, ia juga memberi galakan dan memupuk minat generasi masa kini mengenai teknologi penanaman padi yang mampu membuka peluang pekerjaan yang baik.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Mohd Faizul Mustafa berkata, idea tersebut diketengahkan bagi membolehkan masyarakat bandar merasai pengalaman mengurus tanaman padi melalui simulasi yang disediakan di reruai KADA.
Menurut beliau, permainan itu juga menjadi usaha KADA mendekati generasi muda menerusi pendekatan teknologi yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.

Permainan video ini turut mengetengahkan keseluruhan rantaian penanaman padi, berbanding pendekatan terdahulu yang hanya memberi tumpuan kepada proses penuaian.
Dalam perkembangan berkaitan, KADA akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan pengeluaran padi sebagai sebahagian usaha menyokong agenda keterjaminan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.
Sementara itu, Faizul turut menambah, perkembangan teknologi digital dalam sektor pertanian terus diberi perhatian apabila Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mengetengahkan penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) sebagai antara pendekatan ke arah pengurusan sawah yang yang lebih moden berasaskan IoT.
Dengan penggunaan Sistem Pengurusan Air KADA secara berpusat sebagai pendekatan ke arah lebih pintar yang berteraskan teknologi terkini.
Teknologi IoT membolehkan pelbagai maklumat berkaitan keadaan sawah dikumpul dan dipantau secara lebih sistematik menerusi penggunaan sensor serta sistem yang saling berhubung.
“Teknologi IoT itu penting khususnya dalam penanaman padi kerana pengurusan air, keadaan persekitaran dan pertumbuhan tanaman perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan tanaman berada pada keadaan optimum.
Dengan penggunaan teknologi pintar, data yang dikumpulkan boleh membantu pesawah dan pihak berkaitan dengan pengurusan air yang lebih cekap dan tepat, selain membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas sekiranya berlaku perubahan kepada sawah” ujarnya.

Teknologi berkenaan juga berpotensi membantu mengoptimumkan penggunaan sumber seperti air dan mengurangkan pembaziran, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi pertanian.
Usaha KADA memperkenalkan pendekatan berasaskan teknologi ini selari dengan keperluan sektor pertanian masa kini yang semakin bergantung kepada automasi, data dan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti.
“Penggunaan IoT memperlihatkan bagaimana teknologi boleh memainkan peranan penting dalam memodenkan sektor pertanian serta menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang agromakanan yang mempunyai peluang dan potensi besar.
“Bagi KADA, penerapan teknologi digital bukan sekadar soal penggunaan peralatan moden, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh produktiviti pesawah dan meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, pertumbuhan positif dicatatkan sehingga lebih 35 peratus pada tahun 2025 dan peningkatan lebih tinggi disasarkan pada tahun ini. Dengan teknologi IoT, hasil padi meningkat sehingga 7 tan sehektar pada masa ini.
MAHA 2026 berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sehingga 6 September ini. Orang ramai dijemput hadir ke reruai KADA di Laman Agro Interaktif, Hall C MAEPS.
