Kuala Lumpur – Gelaran mentor usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan jujurnya bukan sekadar gimik pemasaran. Bayangkan sepanjang penubuhan syarikat Richworks International Sdn Bhd selama 15 tahun, beliau telah melahirkan ratusan ribu usahawan berjaya dalam pelbagai industri di Malaysia.
Mentor usahawan itu, mengorbankan masa dan tenaganya untuk mendapatkan ilmu, strategi dan kajian terkini agar memberikan kelebihan persaingan buat usahawan di bawah bimbingannya.
Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), Radz Mohd. berkata, beliau merupakan role-model kepada warga syarikat dan semua anak didik bimbingannya bila mana tidak pernah berhenti mencari ilmu-ilmu baharu walaupun sudah terbukti kepakarannya membimbing usahawan.

Namun jelasnya lagi, tiada kejayaan yang mampu digapai tanpa berkat doa dari seorang ibu yang menjadi tulang belakangnya serta pelengkap doa yang dipanjatkan kepada Allah swt.
“Saya tidak akan sampai ke tahap hari ini tanpa berkat doa restu dari ibu dan isteri saya” katanya.
Beliau yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat PHD dalam bidang pengurusan perniagaan dari Asia e University (AeU), menyatakan antara kekuatan dan semangat untuk dirinya terus berjaya adalah mencari keberkatan dengan menjaga hubungan kasih sayang antara ibu dan juga pasangan.
“Saya percaya mencari kekuatan adalah dengan menjaga perhubungan. Perhubungan dengan keluarga dan hubungan dengan Allah SWT serta Rasullullah.
“Antara kita dengan pasangan, mak ayah dan orang sekeliling iaitu keluarga dan masyarakat, jika kita menjaga hubungan baik itu ia akan melimpah dalam perniagaan, kerana kita faham hubungan itu adalah reputation, networking dan it’s all about trust.
“Jika orang trust kita, orang akan willing to give us money dan invest to bisness” jelasnya.

Beliau juga menekankan hubungan yang baik adalah bermula dari rumah dengan membina kasih sayang antara ibu bapa dan keluarga. Tambahnya, betapa sibuknya urusan beliau dengan jadual yang padat namun wajib menjaga KPI antara ibunya untuk memastikan keberkatan setiap rezeki yang diperolehi.
“Saya ada KPI, mak saya ada KPI”
“Jika lama tak jumpa dia, saya akan pastikan cari jalan dan masa untuk bertemu dengannya.
“Saya percaya kekuatan atau power doa seorang ibu” tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika sesi konvokesyen Asia e University (AeU) yang merupakan university swasta bertaraf global dengan Akreditasi MQA bagi ijazah doktor falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan sejak 2010 di mana tesis Dr. Azizan bertajuk Effect of Business Coaching on Growth and Performance and The Moderating Role of Competitive Advantage in Small Medium Enterprises in Malaysia di World Trade Centre Kuala Lumpur hari ini.
Terdahulu, beliau telah menduduki peperiksaan bagi Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan lulus pada April lalu.
Selain membimbing secara dekat sekitar 300 usahawan jutawan di RichWorks, Dr. Azizan kini mempunyai tanggungjawab besar apabila dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah Managepay Systems Bhd. (MPay) sebagai Pengarah Bukan Bebas.

Dalam pada itu, Dr. Azizan ketika ditemui memberitahu, beliau sangat bersyukur dengan pengiktirafan yang diterima hari ini.
“Matlamat saya untuk mempersiapkan diri agar dapat terus memberikan nilai dan panduan berkesan buat bangsa usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam dan luar negara.
“Pengiktirafan dan kelulusan pendidikan yang diterima bukan semata-mata untuk diri sendiri, tetapi untuk diberikan kembali kepada orang ramai terutama usahawan dan organisasi,” tegasnya.
Dr. Azizan berkata, beliau bersama RichWorks akan berusaha dalam membimbing usahawan dan ia merupakan matlamat dirinya untuk melihat transformasi dan metamorfosis seseorang usahawan.