Shah Alam – Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dijangka berupaya meningkatkan pengeluaran ayam pedaging daripada tiga juta ekor setahun kepada 14.8 juta ekor menjelang 2025 bagi membantu menstabilkan harga dan bekalan ayam di Selangor.
Untuk itu, PKPS menjalin usahasama dalam bentuk Memorandum Persefahaman (MoU) bersama konglomerat makanan terkemuka, Charoen Pokphand Group (CP) bagi merangka pembangunan ladang ayam ‘breeder’, ladang penetasan (hatchery) dan ladang pengeluaran telur.
Usahasama ini sebahagian Program Intervensi Harga Makanan Ehsan (PIHE) bertujuan memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi serta dijual pada harga berpatutan kepada rakyat di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, PKPS memberi komitmen untuk terlibat secara terus dalam keseluruhan rantaian bekalan ayam dan telur iaitu bermula dari penghasilan makanan ayam (chicken feed), ladang ayam ’breeder’, ladang penetasan (hatchery), ladang ayam pedaging (broiler) dan ladang pengeluaran telur (layer).
PKPS ketika ini katanya, mengoperasikan ladang ayam pedaging di Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan kapasiti pengeluaran sebanyak tiga juta ekor setahun.
“Menerusi jalinan ini, PKPS akan mengenal pasti lokasi bersesuaian dan melengkapkan prosedur pembangunan infrastruktur berkaitan manakala CP sebagai rakan strategik sejak 2010 akan membawa kepakaran teknikal.
“Pengalaman dan kekuatan CP sebagai salah satu pengeluar makanan terbesar dunia dengan operasi dan pelaburan di lebih 40 negara akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengurusan PKPS dalam melaksanakan PIHE,” katanya.
Dr Mohamad Khairil berkata kerangka usahasama ini adalah berdasarkan mandat serta inisiatif daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari serta Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim.
“Selangor beriltizam untuk menjadi sebuah negeri mampan diri, atau self sustainable daripada segi bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import.
“Justeru, PKPS sebagai salah sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam hal sekuriti makanan negeri merencana projek berimpak tinggi bagi memastikan bekalan makanan asas rakyat Selangor terus mampan untuk tempoh mendatang,” jelasnya lagi.
Skop projek yang dijangka menelan belanja RM50 juta untuk fasa pertama (breeder) akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pemegang taruh utama seperti Menteri Besar, barisan Exco serta pengarah-pengarah agensi negeri.
Sebelum ini PKPS dan CP menandatangani MoU berkenaan pada 18 Januari lalu di Ibu Pejabat CP di Bangkok, Thailand sempena lawatan kerja PKPS ke ladang ayam dan telur CP di Wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand.
Dokumen kerjasama ditandatangani oleh Dr Mohamad Khairil selaku wakil PKPS manakala CP diwakili oleh Pengerusi Serantau Kumpulan CP, Sompop Mongkolpitaksuk.
Dr Mohamad Khairil menjelaskan lagi, projek usahasama berkenaan akan dapat mengurangkan kebergantungan industri ayam tempatan kepada import seterusnya membantu menstabilkan bekalan dan harga ayam dalam pasaran Selangor.
“Dokumen ini juga merangkumi langkah penyelesaian jangka pendek bagi bekalan ayam dan telur segar menerusi kaedah import terus daripada ladang CP serta perkongsian ilmu dan latihan antara kedua-dua organisasi. CP selaku pemilik pasar raya terkemuka Lotus’s juga akan meneroka potensi kerjasama bagi pemasaran dan penjualan produk Ehsan,” katanya.