Kuala Lumpur – Pengeluar hijab jenama By Chefiza (BCF), mengunjurkan jualan mencecah kepada RM32 juta pada tahun ini dengan merancakkan lagi strategi pemasaran yang lebih tersusun dan positif. By Chefiza Sdn. Bhd. yang mula beroperasi pada 2019 mula dikenali dengan penjualan ‘Snowcap Berhantu’ seterusnya melebarkan empayar dengan permasaran koleksi tudung, stokin, stokin tangan, inner neck dan pelbagai lagi.

Pengasas syarikat, Che Nurul Hafizah Che Zulkifli berkata, berbanding tahun lalu, jualan yang dicatat adalah sebanyak RM28 juta dan peningkatan ini bakal disumbangkan daripada aktiviti promosi yang dipertingkatkan pada tahun 2023, pertambahan bilangan pengedar dan juga strategi pemasaran yang lebih efektif melalui program Go To Market.

“Tahun 2023 ini kami tingkatkan lagi sasaran jualan dan dengan melantik Ummi Nazeera sebagai duta, kami yakin ia mampu memberi impak yang lebih baik serta membantu para reseller, ejen dan wakil dropship memantapkan jualan.
“Melalui kempen hari raya yang akan bermula tidak lama lagi, kami yakin pengedar BCF yang kami gelar mereka sebagai reseller akan lebih aktif membantu mengedarkan produk keluaran syarikat selain membantu meningkatkan hasil jualan sepanjang musim perayaan nanti,” katanya.

Beliau turut menambah, BCF juga tidak hanya bergerak aktif melalui sistem jualan online sahaja namun akan merancakkan jualan secara offline dalam usaha meletakkan jenama ini lebih dekat kepada pengguna dan juga membantu para ejen berjualan secara langsung dengan membuka gerai jualan (booth).
Jelasnya lagi, produknya kini bergerak dengan pemasaran bersama lebih 11,000 orang ejen di seluruh negara dan 17 cawangan butik yang membantu meningkatkan jualan syarikat ditambah pengoperasian kilang pengeluaran sendiri dengan tenaga kerja seramai 60 orang yang mampu menampung permintaan tinggi.

BCF yang beribu pejabat di Kota Bharu, menawarkan produk jualan antara RM10 hingga RM49 seunit itu bakal melahirkan lima jutawan BCF pada tahun ini hasil bimbingan dan komitmen komuniti resellernya.

Beliau ditemui dalam satu majlis anugerah BCF LEAD AWARD 2022 sebagai menghargai para stokis dan ejen yang mencapai jualan tertinggi sepanjang tahun 2022. Pada majlis itu, turut dirasmikan produk baharu mereka iaitu koleksi Bawal Souk.


Turut hadir, duta rasmi BCF, Ummi Nazeera dan Datuk Faridah Hanim Haron. Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan penyanyi popular, Ernie Zakri.