Shah Alam – Seramai 2,000 pelajar UiTM dan Universiti Pertahanan Awam Nasional (UPNM) menyertai program anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan DXN Holdings Berhad.
Program IKON adalah program inisiatif PRIHATIN berkonsepkan bual bicara yang menyasarkan pelajar baharu dan bakal graduan di institusi pendidikan tinggi.

Ia juga membabitkan perkongsian ilmu daripada tokoh ternama yang berjaya dalam pelbagai bidang, seterusnya melahirkan graduan yang mempunyai mentaliti kelas pertama.
Bagi program townhall Ikon Madani ini, Yayasan Prihatin menekankan prinsip Membentuk Siswa Madani dengan penerapan nilai-nilai murni dalam mewujudkan masyarakat berilmu, penuh etika budi pekerti dan saling menghormati sesama insan.

Menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yayasan Prihatin Nasional sentiasa pandang kedepan dalam melahirkan generasi belia terutama para pelajar yang lebih celik ilmu dan dalam masa sama masih mengamalkan norma kehidupan yang lebih Madani.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengambil peluang berkongsi kepada para pelajar berkenaan kepentingan amalan Madani dalam kehidupan. Beliau turut menyarankan agar golongan belia pada masa kini harus lebih cakna dan peka untuk lebih maju.

Mengambil contoh kepimpinan Rasulullah SAW, beliau turut menggesa para pelajar agar dapat meluangkan masa sempena bulan suci Ramadan tahun ini untuk menelaah buku-buku sirah nabi dan mengikuti keperibadian Rasul dalam kehidupan seharian.
“Golongan belia pada masa kini harus lebih cakna dan peka untuk berdaya saing, untuk berjaya perlu ada sifat Madani dalam diri, kasih sayang tidak kira sesiapa sahaja kerana kita semua adalah bersaudara” katanya.
Beliau juga turut memuji inisiatif PRIHATIN dalam membantu para pelajar kalangan asnaf dan B40 serta golongan memerlukan.
“Saya bangga dengan usaha PRIHATIN yang sentiasa turun padang membantu golongan memerlukan terutama para pelajar, inilah contoh Madani yang ada dan perlu diteruskan” jelasnya lagi.


Dalam majlis itu juga, sumbangan turut diberikan kepada para pelajar dari kalangan asnaf dan B40 berupa barangan keperluan, wang tunai dan komputer riba.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Hj. Abdul Halim Hj. Abdul Rahman, Ahli MAIWP Merangkap Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Jabatan Penjara Malaysia, Dato’ Ibrisam Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Mohd Ghazali, Pengasas DXN Holdings Berhad, Datuk Dr. lim Siow Jin, Ketua Polis (KP) Kuala Lumpur, CP Dato’ Azmi Abu Kassim dan KP Selangor, CP Dato’ Hussein Omar Khan.