Kuala Lumpur – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa institusi kewangan mahupun pembiaya pinjaman untuk menggunakan budi bicara dalam isu tarik kereta khususnya yang mempunyai baki pinjaman dalam jumlah kecil.
Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kes tarik kereta biarpun pembiayaan sudah pun dilunaskan lebih 70 peratus.
Katanya, lebih malang lagi, ada kes yang nilai pembiayaan hanya berbaki RM500, namun pemilik kenderaan berdepan tindakan tarik kereta dan perlu dijelaskan dengan jumlah yang tidak masuk akal.

“Kita sendiri tidak tahu undang-undang apa yang mereka ikut (syarikat menarik kereta). Apabila kereta mahu ditarik, pengadu terus mendapat surat lelong. Bermakna sekiranya tidak melangsaikan pinjaman, pengadu tidak boleh mengambil semula kereta mereka.
“Isu ini memang tidak boleh kita tolak ansur. Orang sudah bayar dalam jumlah yang banyak tetapi kereta berisiko ditarik.
“Dalam kes yang kita terima, ada yang berbaki hanya RM10,000. Kalau ditarik, masalah juga kepada pemilik kerana perlu cari kereta lain untuk urusan seharian.

“Ada pengadu menerima surat lelong mengatakan sekiranya baki pinjaman kereta sebanyak RM150,000 tidak diselesaikan, kereta ini akan dilelong pada suatu tarikh.
“Persoalannya, proses undang-undang mana yang mereka ikut sehingga membolehkan tindakan tarik dan lelong ini dilakukan,” katanya pada sidang media Majlis Silaturrahim Aidilfitri PPIM di Kompleks Sukan Datuk Keramat, Jalan Datuk Keramat.
Nadzim berkata, kes membabitkan tarik kereta adalah zalim kerana tidak mengikut prosedur biasa.
“Mengikut prosedur yang sebenarnya, notis untuk melelong kereta akan diberi terlebih dahulu sekiranya selepas dua bulan 21 hari tiada tindakan daripada peminjam, baru kereta terbabit akan ditarik dan dilelong.
“Perkara ini sangat zalim kepada peminjam yang susah. Mereka akan tunggu ke saat akhir sebelum membayar pinjaman kerana mereka tidak mempunyai wang.
“Kerajaan hari ini faham kesusahan rakyat. Oleh itu mereka juga perlu teliti bagaimana undang-undang membabitkan pinjaman dengan bank dan juga syarikat luar boleh dilakukan untuk mengelakkan rakyat daripada ditipu,” katanya.
Katanya lagi, melalui aduan yang diterima kadar faedah dikenakan oleh syarikat pinjaman luar adalah antara tujuh sehingga lapan peratus sebulan, malah ada yang mengenakan faedah sehingga 10 peratus.
Turut hadir, Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali.