SHAH ALAM – HeiTech Padu Berhad (HeiTech) dan rakan usaha sama, ACO Tech Sdn Bhd (ACO Tech), bekerjasama untuk mengintegrasikan aplikasi Penang Smart Parking ke dalam Unit Utama Infotainment (IHU) Proton, yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus meningkatkan keupayaan integrasi sistem tempat letak kereta.
HeiTech dan ACO Tech menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) hari ini untuk menjayakan usaha mengintegrasi sistem tempat letak kereta bagi membolehkan pemilik kereta Proton mencari tempat letak kereta yang tersedia dengan mudah dan membuat pembayaran melalui IHU kereta mereka.
Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib, berkata kerjasama itu merupakan pencapaian penting bagi HeiTech dan ACO Tech kerana ia menunjukkan komitmen kedua-dua belah pihak terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam teknologi mempertingkatkan mobiliti.
“Penyelesaian tempat letak kereta pintar ialah platform pengurusan tempat letak kereta termaju yang menggunakan teknologi terkini seperti sensor, aplikasi mudah alih dan pengkomputeran awan untu memberikan maklumat masa nyata tentang ketersediaan tempat letak kereta, lokasi dan harga.
“Oleh itu, ini membuktikan komitmen kami dalam meningkatkan kualiti hidup pemandu di Malaysia melalui penyelesaian termaju untuk memudahkan urusan harian mereka. Kami yakin pengintegrasian aplikasi Penang Smart Parking ke dalam kereta keluaran Proton akan menjadi pengubah keadaan bagi industri automotif di Malaysia,” tambahnya.

Dengan pengintegrasian itu, pemandu tidak lagi akan membuang masa mencari tempat letak kereta kerana mereka boleh menggunakan IHU mereka untuk memandu arah ke tempat letak kereta yang terdekat dan membuat pembayaran secara digital tanpa perlu mencapai peranti mudah alih mereka sebelum turun dari kenderaan.
Dibangunkan oleh HeiTech, penyelesaian tempat letak kereta pintarnya kini merupakan pengintegrasian sistem tempat letak kereta yang pertama seumpamanya di Malaysia dan telah berjaya dilaksanakan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.
“Penyelesaian tempat letak kereta pintar adalah sumbangan kami kepada Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (MSCF) yang sejajar dengan visi kami untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) membangunkan bandar masing-masing sebagai bandar pintar.
“Penyelesaian tempat letak kereta pintar ini juga akan membolehkan HeiTech menjadi sebahagian daripada perjalanan transformasi digital Kerajaan, sekali gus memenuhi agenda Malaysia Madani yang memberi tumpuan kepada proses penyelesaian masalah, memenuhi keperluan negara, mewujudkan masa depan yang aman dan makmur serta memenuhi potensi rakyat di negara ini”, kata Dato’ Sri Mohd Hilmey.
HeiTech juga telah membangunkan penyelesaian pintar untuk digunakan oleh PBT bagi mengurus kutipan cukai dan sewa dengan lebih baik, saluran komunikasi yang cekap dan berkesan, mengurangkan operasi perkhidmatan di kaunter, meningkatkan perkhidmatan penyerahan bil dan penyata serta mempromosi sektor pelancongan di negeri masing-masing.
Aplikasi mudah alih yang dibangunkan HeiTech seperti aplikasi pelesenan dan pengebilan elektronik telah membantu PBT menjadi lebih cekap dan berkesan dalam penyampaian perkhidmatan mereka kepada pengguna.
“Kumpulan HeiTech berada pada landasan yang betul untuk mempelbagaikan cabang perniagaan dan meneroka teknologi baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap perniagaan teras pengintegrasian dan penyelenggaraan sistem.
“Kami telah memulakan langkah untuk mengembangkan penawaran kami melalui penyelesaian berasaskan transaksi dalam pasaran massa. Penyelesaian tempat letak kereta pintar, gerbang pembayaran, aplikasi pintar untuk pihak berkuasa tempatan, aplikasi pintar untuk koperasi, penyelesaian pengurusan sekolah dan portal pengajaran adalah beberapa contoh tawaran kami yang sudah tersedia di pasaran.
“Kami juga telah beralih ke sektor keselamatan siber dengan menawarkan penyelesaian berasaskan perusahaan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan keselamatan bagi mana-mana organisasi,” tambah Dato’ Sri Mohd Hilmey.
MoC itu ditandatangani oleh Abdul Halim Md Lassim, Naib Presiden Eksekutif HeiTech dan Li Pu, Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech di Pusat Kecemerlangan Proton, Shah Alam. Hadir untuk menyaksikan MoC itu ialah Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib, Presiden/Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech Padu Berhad, Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, dan Nur ‘Aishah Md Norodin, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pulau Pinang.