Petaling Jaya – Kerajaan Selangor melalui Selangor Youth Community (SAY) tahun ini sekali lagi berjaya mendominasi 3 orang usahawan dengan produk mereka yang pelbagai dalam program pembangunan industri mikro, kecil dan sederhana (IMKS) berorientasikan eksport melalui program Say Aspire.
Program yang memasuki edisi keempat ini turut disokong EXCO Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri bertujuan membawa produk IMKS di Selangor yang bersedia untuk menerokai pasaran global.

Pembentangan akhir ini dijuri oleh barisan panel yang berkredibiliti, mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan eksport seperti Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Timbalan Ketua Pegawai Eksekuif MATRADE, Encik Abu Bakar Yusof, Ketua Pegawai Strategi EXIM Bank, Dr Nurliza Mohd Mydin, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation, Encik Rizal Nainy, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, YB Rodziah Ismail dan Pakar Eksport dari Malaysian Exports Academy, Puan Wan Norma Wan Daud.
Say Aspire menawarkan ganjaran berimpak tinggi kepada pemenang dengan kursus latihan eksport, rangkaian kerja bersama agensi kerajaan seperti Malaysia External Trade Development Corporation (Matrade) dan Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank Malaysia).

Selain itu, tajaan penerbangan ke negara yang dipilih untuk tujuan promosi dan rundingan perniagaan, akses kepada pasukan perolehan, bimbingan khas secara individu untuk merealisasikan impian eksport, peluang imbuhan dan pelaburan, kolabrasi bersama agensi berkaitan serta trofi dan sijil.
Bagi edisi keempat ini, tiga syarikat dipilih sebagai pemenang iaitu, H&S Delight (M) Sdn Bhd yang (produk kiub masakan) yang memenangi tempat ketiga dan MGR Malaysia Sdn Bhd (produk biskut dan snek ringan) ditempat kedua.

Manakala ditempat pertama, Global Haltech Sdn Bhd (produk ujian kit halal) yang menyasarkan untuk menembusi pasaran Indonesia, Jepun, United Kingdom dan Australia.
Dalam masa sama, Kerajaan negeri Selangor berharap agar program seperti SAY Aspire ini bukan sahaja dapat diteruskan malah diperluaskan lagi demi memupuk semangat juang dan daya saing yang tinggi dalam kalangan usahawan IMKS di Selangor agar terus berdaya maju dan kekal berdaya tahan, sekaligus dapat mengharumkan nama Selangor di persada dunia melalui eksport produk buatan tempatan namun setanding kualiti antarabangsa.