Kuala Lumpur – Kumpulan Rangkaian Restoran Antarabangsa D’ Tandoor menyambut ulang tahunnya yang ke-30 dengan majlis Terlajak Rata disamping menghargai kakitangannya yang telah lama berkhidmat bersama mereka.
Pengasasnya, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, D’Tandoor telah berjaya membuka cawangan baru di Australia dan sedang dalam perancangan untuk membuka beberapa cawangan lagi di Timur Tengah, Eropah dan negara – negara Asean.

“Kami berjaya membuka francais untuk restoran D’Tandoor di beberapa kawasan dan sedang berkembang menyeluruh secara berperingkat untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi disamping membuka peluang kepada masyarakat dalam bentuk peluang pekerjaan.
“Bukti kini kami berjaya mengembangkan perniagaan ke luar negara dan dalam perancangan untuk diperluaskan lagi ke seluruh pelusuk Asia” jelasnya.
D’Tandoor telah berkecimpung dalam industri makanan dan minuman selama 40 tahun dan juga merupakan franchisor terunggul yang telah dianugerahkan oleh ‘Malaysia Book of Records’ sebagai syarikat pertama yang menceburi bidang francais bagi pengendalian makanan India Utara di Malaysia.
Dalam majlis itu juga, Dato Sri Hj Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan memuji kejayaan D’Tandoor yang membuktikan restoran itu semakin mendapat tempat di mata dunia.

“Saya kagum dengan D’Tandoor dan ini bukti rakyat Malaysia mampu membuka mata dunia dalam bidang perniagaan makanan, saya sendiri menggunakan katering dari restoran ini untuk majlis keluarga dan ramai menyukai setiap hidanganya.
“Ini wajib dipuji dan dibanggakan, syabas D’Tandoor untuk kejayaan 30 tahun ini” katanya ketika merasmikan majlis di restoran Roti D’Tandoor, Ampang.

Pada masa yang sama Majlis Menandatangani Perjanjian Francais d’Tandoor Bukit Mertajam turut diadakan disamping penyampaian sijil penghargaan kepada tujuh pekerja terbaik bagi Anugerah Penghargaan Kakitangan D’Tandoor.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Dato’ Dr. Mohammad Agus Yusoff , Tan Sri Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizuddin Ghazali dan Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi.
