Kuching – Lebih 3000 peminat membanjiri laman Old Courthouse, Kuching Sarawak untuk menemui selebriti Korea, Rain.
Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon, 41, hadir dalam sesi bertemu peminat dan menjadi artis jemputan utama untuk Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 yang berlangsung disini hari ini.

Rain dipilih kerana beliau sememangnya menjadi ikon fenomena K-Pop serta bintang filem cukup disegani baik di negaranya mahupun di peringkat global.
Kesemua para peminat yang hadir datang dari dalam dan luar negara bersorak dengan laungan ‘Love Rain’ sambil melambai dan memegang poster selebriti kesayangan mereka itu.


Dalam masa sama, Rain turut mengambil peluang bersalaman dan mengedarkan baju tshirt kepada para peminatnya yang bertuah. Beliau turut menurunkan tanda tangan di poster AIFFA 2023 sebagai tanda sokongan kepada acara berprestij ini.

Rain turut hadir pada Malam Gala AIFFA 2023 yang akan berlangsung malam ini di hotel Pullman, Kuching Sarawak.
Terdahulu, Steven Seagal, Jackie Chan, Donnie Yen, Tan Sri Michelle Yeoh, dan Henry Golding antara yang pernah hadir memeriahkan festival anugerah terbabit.
AIFFA terus mendapat kepercayaan penggiat filem rantau ini walaupun kali terakhir diadakan pada 2019. Sebanyak 121 filem Asean akan dipertandingkan untuk 12 kategori pada malam gala nanti.
