maxresdefault

Menonton filem patriotik sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat kenegaraan kita sebagai rakyat Malaysia. Pengisian filem patriotik tidak hanya berkisarkan tentang perperangan, malah semangat juang juga turut diangkat menjadi tema sesebuah filem.

Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad, sebuah filem ‘Period’ mengisarkan pahit maung kehidupan sewaktu penjajahan tentera Jepun ke negeri Kelantan sekitar tahun 1941.

Lakonan watak utama Nazeera Saidi yang memikul peranan Bulan benar-benar meruntun hati penonton sekaligus berjaya membawa kita menelusuri kedukaan mangsa pemuas nafsu tentera Jepun.

Bulan, seorang sosok wanita Melayu yang menjaga maruah diri berpegang kepada agama dan kehormatan bangsa. Hidup dalam dendam dan tekad mempertahankan diri dan keluarganya.

Anak sulung pengusaha tanaman dan pemburu dikenali sebagai Ismail dan isterinya, Hasnah, berdepan tentera Jepun yang menawan Kelantan.

Ramai penduduk kampung didera dan dibunuh. Anak gadis pula menjadi sasaran dengan ditahan dan dikurung sebagai ‘comfort woman‘ atau pemuas nafsu tentera Jepun.

Bulan bersama adiknya, Kasih dan seorang lagi sahabat, Sui Li, ditangkap dan dipaksa memenuhi kehendak tentera Jepun.

Kekejaman tentera Jepun terhadap wanita membuatkan Bulan mempertaruhkan nyawa demi menyelamatkan bangsa dan tanah air. Paling menyayat hati, apabila sahabatnya dibunuh apabila cuba mempertahankan dirinya dan wanita tahanan yang lain.

Pagari Bulan memaparkan kisah fiksyen perjalanan hidup Bulan yang menjadi pemuas nafsu askar Jepun dan bagaimana dia bangkit menentang serta menyelamatkan wanita lain yang menjadi mangsa.

Namun, kehadiran Leftenan Miura lakonan Aniq Durar sedikit sebanyak mengurangkan stigma bahawa semua tentera Jepun itu kejam. Wataknya membuka mata bahawa masih ada hati nurani pada pihak tentera zalim itu dan akhirnya menjadi mangsa kekejaman tenteranya sendiri.

Leftenan Miura dijatuhkan hukuman potong tangan apabila bantuannya kepada orang-orang Melayu dalam pengetahuan Jeneral Kozawa yang telah dihasut oleh orang kanannya, Azu.

Kemuncak filem ini, apabila Bulan yang hamil setelah diperkosa Jeneral Kozawa bertindak membunuh Azu yang cuba menganggu dan melampiaskan nafsunya. Dalam scene ini, Bulan berjaya menunjukkan aura sri kandinya dengan menggunakan ilmu persilatan Melayu demi mempertahankan diri.

Filem yang penuh dengan semangat perjuangan, martabat bangsa dan agama, kasih sayang dan kekuatan kekeluargaan ditambah babak air mata sememangnya cukup rencah dan layak diangkat antara filem terbaik 2023.

Pencahayaan dan teknik sinematografi yang boleh dikatakan hebat melengkapkan sebuah karya era 40-an yang meresap dalam jiwa penonton. Penulis berani katakan, ini sebuah filem hebat yang perlu kita sokong. Bukan sahaja sebagai pengajaran malah membawa rasa sakitnya orang-orang dahulu diseksa tentera Jepun.

Ini harus dipuji dengan penglibatan krew dan tenaga produksi yang berpengalaman menghasilkan karya yang mantap.

Jujur penulis katakan, agak sukar mencari kesalahan mahupun kecacatan pada filem ini. Ini kerana hampir keseluruhannya dihasilkan dengan perincian yang teliti.

Dari segi skrip, keseluruhannya menggunakan dialek Kelantan yang mudah difahami oleh setiap penonton.

Tidak banyak filem yang mengangkat kisah mengenai perjuangan seorang wanita. Selain itu, jalan cerita filem ini agak unik iaitu mengenai wanita yang dijadikan pemuas nafsu atau ‘comfort woman‘ yang tidak pernah dipaparkan dalam filem tempatan

Menurut Sharifah Shahora dan suami mengambil masa setahun untuk mengubah plot cerita filem Pagari Bulan bersama pemilik idea asal, Ellyna Ahmad dan penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim.

Filem Pagari Bulan terbitan Eleven Field Creative dihasilkan dengan Dana Kenegaraan sebanyak RM2.5 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 5 Oktober ini.

Penggambaran dilakukan di 25 lokasi bagi menghidupkan era penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Selain Nazeera, Pagari Bulan dibintangi Aniq Durar, Alvin Wong, Andy Teh, Trisha Ooi, Michael Ang dan Laila Nasir.

Bagi penulis, filem ini selayaknya mendapat 9 daripada 10 bintang dan wajib ditonton oleh semua.

Leave a Reply