Kuala Lumpur – Anda suka menonton filem seram dan mendebarkan macam filem terbitan produksi Korea dan Thailand. Oleh itu nantikan filem Mar Rak tidak lama lagi. Melihat kepada kreativiti dan teknik Computer-Generated Imagery (CGI) dalam filem tersebut tidak hairan filem yang mendapat geran DKD Finas ini bakal mencatatkkan sejarah tersendiri.
Mar Rak dengan tagline “cinta perlu pengorbanan nyawa” telah melahirkan sebuah video lagu OST ‘Seru Cinta’ terbitan Aby Studio and Entertainment menampilkan Kael, Shatirah Amanda, Nina KSC dan Dyvianna James yang juga merupakan pelakon utama filem Mar Rak sebagai penyanyi dalam Official Sound Track ini.

Menariknya, lirik lagu ‘Seru Cinta’ ini telah dihasilkan sepernuhnya oleh pengarah dan penerbit filem Mar Rak, iaitu Dato’ T.S.Jeffry sendiri yang diinspirasikan knusus untuk filem Mar Rak yang berkisarkan kisah percintaan sehingga terpaksa menggadai nyawa.
Mar Rak membawa makna iaitu Mar (bahasa Kelantan maksudnya mari) Rak pula dalam bahasa Siam… cinta dan maksudnya begitu besar. Filem ini tidaklah 100 peratus tentang dramatari Menora kerana filem turut diselitkan genre aksi, thriller dan suspen thriller.

T.S Jeffry menambah,“Saya buat filem kisah dramatari Menora disebabkan semakin hari seni ini semakin dilupakan. Bila tanya budak-budak muda ramai yang tidak tahu tentang Menora…mereka kata Makyong ke? sedangkan Menora ini lebih tua usianya dari Makyong.
“Keduanya, saya anak Kelantan. Filem ini ibarat hadiah khas saya untuk orang Kelantan dan orang luar untuk lebih mengenali apa itu Menora. Akhiran Mar Rak ini saja saya buat tergantung sikit. Jika ada untung dan dapat sambutan, saya nak buat sambungan Mar Rak 2 pula. Saya nampak banyak lagi yang boleh dikembangkan dalam filem ini nanti untuk era 2000 pula.”
“Saya berharap agar semua rakyat Malaysia dapat bagi sokongan pada filem ini nanti. Mar Rak menampilkan cerita dramatari Menora yang merupakan salah satu budaya Kelantan yang saya gabung dimana ceritanya lebih kepada perpaduan bangsa.

Mar Rak merupakan filem kedua terbitan Pentas Wayang Production Sdn. Bhd. selepas filem pertamanya dulu bersama rakan kongsinya iaitu Hantu Bukit Cina.
Filem ini telah mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) atas Dana Kandungan Digital (DKD) yang telah dibelanjakan bagi memastikan filem ini berjaya dihasilkan seterusnya dapat menemui penonton di pawagam.
Filem Mar Rak terbitan PENTAS WAYANG PRODUCTION SDN BHD ini mendapat kerjasama serta edaran METROWEALTH PICTURES yang bakal menemui penonton pada 2 NOVEMBER 2023 di pawagam seluruh Malaysia.
