Kuala Lumpur – Berikutan perang Israel-Palestin sejak Oktober lepas, ramai saudara Islam yang terkorban dan terkesan akibat pengeboman serta sekatan bekalan air, elektrik dan makanan.
Terkesan dengan penderitaan rakyat Palestin, restoran Me’nate Steak Hub menganjurkan kempen makan dan derma di semua cawangannya.
Mensasarkan dana sehingga RM 300,000, kempen yang berlangsung selama 15 hari ini bermula 6 sehingga 20 November depan dilihat sebagai tanda solidariti restoran tersebut dalam membantu mangsa- mangsa kekejaman tentera zionis.
Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd, Syed Ashraf Syed Ali berkata, melalui kempen yang dianjurkan mereka berharap sasaran kutipan sebanyak RM300,000 terlaksana.
“Kempen ‘Dine and Donate For Palestine’ ini akan bermula pada Isnin ini, 6 November dan berakhir pada 20 November.
“Kempen ini akan membabitkan semua 13 cawangan restoran kami, di mana Me’nate akan menyumbang 10 peratus daripada hasil jualan sepanjang kempen 15 hari ini berlangsung,” katanya yang juga pemilik Me’nate Steak Hub.

Syed Ashraf berkata, tiada limit untuk pelanggan membeli di restoran mereka walaupun hanya segelas air setiap jualan yang diterima, 10 peratus tetap akan disumbangkan.
Terharu dengan keprihatinan masyarakat di negara ini, Muaz Omar yang mewakili Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PICOM) turut mengucapkan terima kasih atas usaha dan prihatin masyarakat yang membantu penduduk Palestin.
“Kami berterima kasih ke atas bantuan yang tidak putus- putus diberikan. Kepayahan yang sedang dilalui rakyat kami menjadi sebab untuk kita lebih dekat dan erat.
“Malah ketika ini bukan sahaja bantuan makanan dan perubatan yang diperlukan tetapi kedatangan musim sejuk juga akan menjadi satu lagi cabaran besar buat mereka di sana,” katanya.
Tambahnya lagi, ini adalah kempen yang kali pertama kami adakan, fokus kami cukup jelas untuk memberikan bantuan secepat mungkin kepada rakyat Palestin yang kini terjejas teruk.
“Bukan sahaja dari segi bantuan makanan tetapi juga perubatan. Dengan kutipan yang disasarkan, harapan kami bantuan untuk mangsa-mangsa di sana akan segera sampai.
“Jika sambutan menggalakkan kami akan pertimbangkan untuk memanjangkan kempen ini demi pelanggan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, kerjasama dengan SEJAGAT dan Tabung Kemanusian Palestin Media Prima diharap dapat memudahkan misi menghantar bantuan ke Palestin melalui saluran yang tepat.
