caab3b62-2e29-4089-abe3-0c37f9b7d524

Jakarta – Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor diberi penghormatan untuk menyampaikan titah ucaptama pembukaan Persidangan Belia Asean 2023 semalam.

Delegasi Kerajaan Negeri disertai Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohd Nizam Marjugi, Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor Mohd Hidayat Mohd Sauffi dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Nurul Azwa Rodzi.

Turut hadir Orang Besar Istana iaitu Tengku Musahiddin Shah, Tengku Saifan Rafhan Putra dan Tengku Ezrique Ezzuddean.

Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah berkenan mencemar duli untuk menyampaikan ucaptama kepada para delegasi dengan tajuk “Mencipta Perubahan yang Mampan untuk Rantau ASEAN”.

Pelbagai isu serantau telah disentuh seperti penglibatan belia dalam pembangunan ekonomi, kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak dan belia, adaptasi teknologi sebagai pemangkin untuk kemajuan dan kemakmuran serantau, dan peranan belia sebagai pemimpin dalam masyarakat.

“Untuk benar-benar mencungkil potensi belia di rantau ASEAN, kita mesti berusaha mewujudkan ruang dan platform kepada belia untuk terlibat secara aktif dalam penggubalan polisi dan pelaksanaan.

“Suara belia perlu didengar dan aspirasi mereka diterjemahkan kepada tindakan nyata.

“Ini menggalakkan kewarganegaraan aktif (active citizenship), di mana golongan muda bukan sahaja menjadi penerima manfaat, malah terlibat secara aktif dalam melakukan perubahan positif” ucapnya.

DYTM Raja Muda Selangor juga berkesempatan membuat beberapa kunjungan hormat di Ibu Pejabat ASEAN Sekretariat dan berjumpa dengan delegasi antarabangsa.

Antara yang ditemui, Yang Berhormat Tuan Tran Duc Binh, Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Hal Ehwal Komuniti dan Korporat); Dr. Piti Srisangnam, Pengarah Eksekutif ASEAN Foundation; Yang Berhomat Dato’ Nur Izzah Wong Mee Choo dan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN; Tuan Senjaya Mulia, Presiden ASEAN Youth Organization.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading