Petaling Jaya – Berikutan isu penipuan pelaburan yang didalangi seorang individu bergelar Datuk Wira yang tular minggu lepas, difahamkan juga beberapa agensi kerajaan juga turut menjadi mangsa.
Agensi kerajaan yang menjadi mangsa penipuan ini dikatakan turut diperdaya sindiket pelaburan individu berkenaan yang mencecah kerugian sehingga RM1 bilion.
Sekretariat Mangsa Penipuan Ranjeet (Maper), Shah Abdul Malek mendakwa, lelaki berkenaan melanggar Akta Syarikat apabila menubuhkan syarikat dengan objektif perniagaan palsu, membuat pengisytiharan tahunan palsu dan membuat laporan audit palsu.

“Datuk tersebut melanggar Akta Syarikat 1965 dan menutup syarikat selepas penipuan selesai supaya salah laku tidak dapat dikesan,permainannya sungguh licik sehingga mangsa terpedaya ” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Tambahnya, syarikat itu akan digunakan untuk memindah sebahagian wang pelaburan. Namun, beberapa keping salinan cek serta salinan penyata bank syarikat ada dikeluarkan dan boleh dijadikan bukti terdapat aliran wang keluar masuk syarikat itu.
Shah turut menjelaskan lelaki itu juga didakwa menjalankan operasi seperti skim cepat kaya sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah koperasi dengan menipu jutaan ringgit namun tidak didakwa meskipun wang koperasi dibekukan selain pendaftaran dibatalkan.
Ahli perniagaan dari United Kingdom, Lee Roger Meiklejohn, 50, yang juga menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit dengan jumlah RM60 Juta pada November 2017, mendakwa Datuk tersebut juga membuat pengisytiharan keuntungan palsu serta tidak mengisytiharkan wang miliknya.
“Datuk itu juga telah melakukan penipuan dalam kenyataannya kepada pihak polis apabila disiasat.
“Banyak laporan polis telah dibuat terhadapnya tetapi tiada tindakan atau dakwaan pernah dikenakan. Saya percaya dia telah memutar belit atau memberi kenyataan palsu untuk melepaskan diri,” ujarnya.
Setakat ini, kira-kira lapan individu lagi telah tampil mendakwa menjadi mangsa pelaburan sama.

“Mangsa juga terdiri daripada golongan profesional seperti doktor dan ahli perniagaan yang membabitkan kerugian puluhan jutaan ringgit” jelas Shah lagi.
Maper meminta sesiapa yang menjadi mangsa penipuan untuk mengumpul dokumen berkaitan sebelum tindakan seterusnya diambil termasuk membuat laporan polis,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media, peguam Ily Nadiah Mohd Yusof dari firma Tetuan Ily Yusof & Co.
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan lelaki terbabit diminta menghubungi talian 014-2214433 untuk proses pengumpulan dokumen dan lain-lain tindakan berkaitan.
