Putrajaya – VFive Group menutup tirai kalendar 2023 dengan melancarkan 10 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun hadapan disamping menyasarkan untuk meningkatkan peruntukan sumbangan kebajikan sebanyak RM30 juta bagi membantu golongan yang memerlukan.
Pelancaran 10 KPI tersebut disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah yang lebih menekankan konsep keberkatan dengan menjadikan kerja bakti, kebajikan dan keikhlasan sebagai nilai teras dalam setiap urusniaga yang dijalankan.
Pelancaran tersebut diadakan pada Majlis Jamuan Makan Malam Tahunan VFive Group 2023 bertempat di Hotel Everly, Putrajaya.

Majlis makan malam tahunan yang bertemakan Raudah itu merupakan satu wadah bagi memberi penghargaan kepada warga kakitangan yang telah bertungkus-lumus sepanjang tahun 2023 bagi memastikan setiap KPI yang ditetapkan dapat dicapai.
Di antara salah satu daripada 10 KPI yang disasarkan pada tahun 2024 adalah pemerkasaan budaya dan rohani Islam dimana matlamat berkenaan merupakan kelainan baharu yang syarikat bawa iaitu meletakkan kebergantungan kepada ALLAH SWT dalam setiap perkara dilakukan.
“Ini yang selalu saya katanya kepada kumpulan dan diri sendiri bahawa kita perlu kembali kepada asas yang mana pengharapan hanya kepada ALLAH SWT kerana Dia yang memberi segalanya.
“Kita perlu sedar, yakin dan beriman kepada hakikat itu. Bukan nak kata sebelum ini kita tidak pernah meletakkan kebergantungan kepada ALLAH, cuma kali ini kita nak tekankan lagi,” ujarnya.
Mengulas mengenai inisiatif CSR pada tahun 2024, Mohd Syafiq Abdullah menegaskan bahawa beliau cukup yakin aspek keberkatan memberi impak yang sangat besar dalam perniagaan.
Justeru, beliau mahu VFive Group melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk membantu komuniti-komuniti yang memerlukan. VFive juga telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Palestin yang diiktiraf kerajaan.

“VFive Group telah merancang pelbagai usaha untuk kita bantu masyarakat yang akan dimantapkan lagi dengan Yayasan VFive, kita telah berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM25 juta pada tahun 2023 dan sasaran ini ditingkatkan kepada RM30 juta pada 2024″ katanya kepada media dalam sidang media malam tadi.
Tambahnya, inisiatif-inisiatif yang akan diperluaskan lagi menerusi Yayasan VFive termasuklah Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki, Sumbangan Bakul Makanan dan pelbagai lagi program pembangunan modal insan komuniti untuk mereka yang kurang berkemampuan.
Mengulas mengenai perancangan untuk melebarkan sayap perniagaan ke negara luar, VFive membuka satu cawangan syarikat Jakarta, Indonesia yang memfokuskan tentang media.
Jelasnya lagi, syarikat juga sedang mengintai pasaran perniagaan di Timur Tengah seperti Riyadh, Jeddah dan Dubai.
