Kuala Lumpur – Pengasas produk kosmetik Alha Alfa iaitu Datuk Seri Alha Alfa mendedahkan dirinya hanya mahu memeriahkan industri hiburan menerusi lagu sulung nyanyiannya bersama pelakon, Zara Zya.
Alha atau nama sebenarnya Abdul Al Halim Al Fadzil , 34, berkata, lagu ‘Cinta Teragung’ yang dilancarkannya itu diharapkan dapat membuatkan dirinya dikenali ramai sekaligus mengembangkan lagi perniagaan kosmetiknya.
Menurut Alha, pada awalnya dia menolak sebarang kemungkinan untuk dirinya menceburkan diri dalam bidang nyanyian.
“Untuk menjawab mengenai itu, boleh saya katakan bahawa pelancaran single ini bukanlah untuk saya menjadi seorang penyanyi tetapi saya hanya cuba untuk memeriahkan industri nyanyian.
“Sebabnya dalam kalangan selebriti ada sahaja yang berjaya dalam bidang perniagaan jadi saya juga cuba untuk bernyanyi.
“Manalah tahu dengan lagu ini, ada rezeki untuk saya lebih dikenali sekaligus dapat menjadi platform buat saya mengembangkan lagi perniagaan saya” katanya kepada media.

Alha berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul ‘Cinta Agung’ di The Roomah, Publika pada petang Khamis.
Ketika ditanya mengenai pemilihan Zara Zya sebagai pasangan duet, usahawan kosmetik itu memaklumkan bahawa dia dan Zara merupakan sahabat lama yang sering meluangkan masa berkaraoke bersama.
“Saya dan Zara dah bersahabat lama dan selalunya kalau saya stres, dia merupakan antara kawan yang saya ada.
“Saya tahu Zara pun memang pandai menyanyi, dari situ saya dan dia bercadang untuk hasilkan lagu sebagai satu kenangan terindah buat kami.
“Saya pula jenis orang yang kalau nak buat sesuatu, tak ada rancang apa-apa dan kmi terus buat lagu” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Alha menjelaskan dia sudah bersedia untuk menerima kecaman yang mungkin dilemparkan sesetengah netizen terhadap pelancaran lagunya itu.
Menurut Alha, kecaman merupakan satu lumrah buat seseorang itu selepas menceburkan diri dalam industri hiburan.
Sekadar info, lagu ‘Cinta Agung’ nyanyian Alha dan Zara Zya ini mendapat sentuhan komposer Yuka Kharisma dan video muziknya akan mula ditayangkan bermula tahun hadapan.
Dalam pada itu, Alha juga tidak menaruh harapan tinggi untuk lagu tersebut untuk bertanding di pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL), kerana tidak pernah terfikir untuk sampai ke tahap itu.
“Saya tidak terfikir pun untuk Cinta Agung sampai ke pentas AJL. Saya cuma rakamkan lagu ini untuk suka-suka sahaja. Kelas vokal pun saya tidak pergi.
“Lagi pun, single ini dihasilkan dalam masa singkat oleh penyanyi dan juga komposer, Yuka Karisma mengikut kesesuaian kami berdua.
“Apa-apa pun, saya percaya Cinta Agung mampu membantu untuk mengembangkan lagi empayar perniagaan saya,” jelasnya.
Bercakap tentang penghasilan video muzik (MV) Cinta Agung, Alha berkata dia memperuntukkan kos sebanyak RM60,000 untuk melahirkan Cinta Agung merangkumi pembikinan MV, pakaian dan set penggambaran.
Ketika disoal tentang kecaman oleh netizen yang bakal diterima, Alha berkata dia sudah bersedia, malah menganggap perkara tersebut sebagai lumrah dalam industri hiburan.

Dalam masa sama, Alha Alfa Cosmetics juga berbangga memperkenalkan keluaran terbaharu minyak wangi eksklusif bersama selebriti, Datin Seri Umie Aida yang dinamakan Perfume AA X Umie Aida yang akan menembusi pasaran dalam masa terdekat.
