cbba81f7-7483-4e4f-a7a3-d1d06d3ba1c5

Seremban – Menyedari tanggung jawab sesama makhluk tuhan, pemilik Klinik Veterinar Chinta Qaseh, Dr Azliza Ahmad membantu seekor kucing yang mengalami masalah buasir kronik (rectal prolapse) selepas membaca hantaran status penjaganya di Facebook.

Bermula dari kisah seekor kucing baka British Short Hair (BSH) berusia 3 bulan yang dibeli dari penjual dengan harga RM700. Namun, apa yang mengecewakannya, penjual tersebut tidak memaklumkan terlebih dahulu keadaan kesihatan kucing tersebut.

Khairun Sofea Awang Mohd Faudzi, 33, yang menguruskan pembelian kucing tersebut untuk adik angkatnya berkata semasa menerima kucing tersebut, beliau menyedari keadaan matanya yang sentiasa berair. Namun beliau hanya mengelapnya dengan tisu dan menyangka kemungkinan ini adalah perkara normal bagi kucing yang kecil.

Selepas tiga hari dalam jagaannya, kondisi kucing tersebut semakin teruk apabila menyedari buasir yang keluar dari lubang najis dan menghantarnya ke klinik haiwan berdekatan.

“Penjualnya memaklumkan anak kucing baka British Short Hair (BSH) itu tiada masalah kesihatan sebelum saya menyerahkannya kepada adik. Namun, saya perasan bahagian bawah badan berhampiran duburnya basah.

Kucing yang diberi Selamat itu, dibawa ke klinik haiwan dan doktor menjalani rawatan purse string untuk kecilkan lubang najis supaya buasir tidak terkeluar.

“Namun selepas itu kondisinya masih tidak begitu baik kerana buasir akan terkeluar kembali. Doktor juga tidak memberi harapan dan katakan dia akan mati. Kami banyak berhabis lebih RM2000 untuk rawatannya namun tiada sebarang perubahan.

“Sedangkan pada masa itu kami juga memerlukan wang untuk membuat persiapan raya. Adik saya mula putus asa dengan kucing ini dan saya mengambil alih,”  kongsi Sofea.

Jelas Sofea lagi, kekangan kos perubatan menyebabkan dia pada mulanya nekad untuk melakukan prosedur pembedahan sendiri di rumah.

“Sehinggakan saya terfikir untuk melakukan prosedur purse string sendiri di rumah kerana lebih jimat. Waktu itu saya tawakal dan berkongsi keadaannya di media sosial dan tidak sangka ramai pihak menghubungi saya untuk berikan nasihat dan bantuan. Sehinggalah saya mendapat mesej dari Dr Azliza Ahmad dari Klinik Veterinar Chinta Qaseh yang menawarkan bantuan untuk merawat Kassim Selamat.

Jelasnya lagi, sebelum itu ramai pihak yang memberi pelbagai nasihat dan pendapat malah turut ada yang mengajar nya memasukkan sendiri usus tersebut dan menjahit dubur kucing itu.

“Alhamdulillah, Dr Azliza sanggup datang dari Seremban ke rumah saya di Kepong untuk mengambil sendiri Selamat untuk dirawat, saya rasa amat bersyukur dengan bantuan doktor” jelasnya.

Dr Azliza Ahmad yang merawat kucing berkenaan berkata, dia tersentuh melihat perjuangan wanita itu yang mahu menyelamatkan haiwan dan memutuskan untuk membantu.

Jelasnya, dua pembedahan iaitu Colopexy dan purse string dilakukan dan beliau turut berkongsi mengenai cetusan nama Kassim Selamat.

“Saya bertanyakan kepada Sofea apakah nama kucing ini dan beliau menjawab namanya Selamat, jadi saya berseloroh dan berkata lebih cantik ditambah Kassim Selamat untuk kucing bertuah ini” tambahnya.

Kongsinya lagi, beliau dan pasukan mengambil risiko demi menyelamatkan Kassim Selamat selepas melihat keletahnya yang cukup aktif.

“Kebetulan beratnya mencukupi untuk menjalani prosedur pembedahan, jadi selepas mengambilnya di Kepong, kami membawa Kassim Selamat ke klinik dan terus melakukan pembedahan ke atasnya. Alhamdulillah kini dia semakin pulih dan stabil. Pada waktu itu, ususnya terkeluar dalam enam hingga lapan sentimeter.

“Kassim Selamat ini ada kelainan pada ususnya, usus kecilnya lebih panjang dari usus besar, pembedahan soft tissue ini dilakukan dengan penuh hati-hati.

“Syukur juga hasil sumbangan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) pencinta kucing, mereka mengumpul dana bagi pembedahan haiwan ini. Ia selamat menjalani pembedahan pada 16 April lalu” katanya kepada media.

Dr Azliza juga berkata dengan pengalamannya yang lebih 15 tahun dalam bidang ini, beliau akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan menawarkan layanan kelas pertama pada harga berpatutan.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading