Kuala Lumpur – Senyuman terukir di wajah 15 penghuni Rumah Kasih apabila menerima sumbangan makanan daripada Restoran makanan halal tradisi masyarakat Cina, Chopstiks Asia baru-baru ini.
Pemilik restoran, Kenneth Choong berkata, usaha murni itu adalah antara misinya dalam tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi program Chopsticks Prihatin. Program tersebut dimana menyasarkan 30 hari, 30 buah rumah kebajikan yang akan menerima sumbangan makanan.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban dan menyemai sedikit keceriaan di hati mereka,” katanya dengan penuh semangat.
“Penting untuk kita memberi sokongan kepada golongan yang sering kali dipinggirkan ini, bantuan makanan ini sekurang-kurangnya mampu membuatkan penghuni rumah kebajikan ini tersenyum” katanya.
Antara golongan yang disasarkan menerima bantuan ini antaranya, anak yatim, warga emas yang tinggal di rumah jagaan, gelandangan, asnaf serta ibu tunggal.

Tambahnya, pada masa ini sumbangan yang diberikan adalah dalam bentuk makanan siap dimakan, namun berhasrat menyumbang dalam bentuk kewangan pada masa hadapan.
“Saya berharap dengan langkah yang baik ini mampu membuka mata ramai pihak tidak kira korporat, kerajaan mahupun individu yang berminat untuk bersama kami membantu mereka yang memerlukan.
“Pihak kami terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menaja program ini supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan.
“Setakat ini sumbangan telah dibuat kepada tiga buah pusat kebajikan iaitu Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas ,Puchong, Rumah Limpahan Kasih Anak Yatim Dan ASNAF serta Rumah Kasih, selepas ini kami bercadang membantu golongan gelandangan” jelasnya lagi.

Sementara itu, Rumah Kasih kini menempatkan lebih daripada 15 warga emas dan gelandangan berbangsa Cina yang memerlukan penjagaan selepas diabaikan ahli keluarga di hospital.
Rumah Kasih ini ditubuhkan pada tahun 2000 dan bergantung sepenuhnya dari bantuan orang ramai bagi menampung kos harian.
