Kuala Lumpur – Pengacara dan usahawan popular, Noor Neelofa bersama suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz melancarkan butik fizikal pertamanya iaitu Nunha Store semalam.
Butik fizikal pertama itu dibuka di pusat membeli belah MyTown Kuala Lumpur dengan memasarkan pelbagai produk yang sebelum ini diusahakan secara dalam talian.
“Butik ini adalah yang pertama bagi koleksi Nunha antaranya yang dapat dilihat disni seperti jubah, sejadah, buku-buku, mini kaabah, kanta mata dan terbaru produk penjagaan wanita iaitu Isterix.
“Sebelum ini saya ada butik tudung Neelofa dan kali ini butik Nunha agak berbeza dari segi produknya dan konsep yang diketengahkan.
“Kami memilih MyTown kerana lokasinya yang strategik dan mudah juga bagi yang ingin datang menggunakan pengangkutan awam” kata Neelofa.

Dalam masa sama, Neelofa turut menjawab berkenaan isu penggunaan imej berbaur lucah atau ‘soft porn’ syarikat miliknya bagi mempromosikan produk yang boleh mengeratkan lagi hubungan intim suami isteri.
Katanya, perkara tersebut sudah diselesaikan setelah Syarikat Nilofa Group membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai isu tersebut.
“Pada saya isu itu sudah berakhir dan kita boleh teruskan sahaja dengan hal lain.
“Penjelasan lanjut juga tidak diperlukan lagi dan saya juga tidak mampu memanjangkan isu berkenaan. Lagipun permohonan maaf juga sudah dibuat,” jelasnya selepas majlis pelancaran butik Nunha.
“Biarlah apa yang berlaku, kami anggap sebagai pengajaran dan tidak perlu dipanjangkan,” katanya.

Sementera itu ketika ditanya sama ada promosi tersebut memberi impak terhadap pembungkusan produk, Neelofa memberitahu hal itu tidak menjejaskan proses penghasilan produk.
“Kejadian yang berlaku ini tiada kena mengena dengan pengeluaran produk,” ujarnya.
Susulan itu tindakannya itu Neelofa sebelum ini dikritik kerana dikatakan tidak bersesuai dengan imej Neelofa sebagai wanita berpurdah dan sudah bergelar hajah.
