Kuala Lumpur – Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan pusat rehabilitasi pertama di Asia dilengkapi teknologi senaman pneumatik terkini gabungan teknologi Jerman, Finland dan Belanda bagi merawat dan memulihkan pesakit jantung.
Berbeza dengan peralatan senaman lain, program Hur & Lode Cardiac Rehab Manager menggunakan dua jenis peralatan senaman yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan berkata, pesakit jantung yang mengambil ubat atau selepas menjalani pembedahan juga perlu mengikuti sesi di pusat rehabilitasi.
“Ia terdiri daripada pelbagai peringkat dan bukan semata-mata senaman, bahkan pesakit turut dipantau dari segi pemakanan dan gaya hidup.
“Justeru, teknologi baharu dapat membantu pesakit jantung untuk menjalani senaman yang selamat kepada mereka memandangkan terdapat alat boleh memantau nadi, paras oksigen dalam darah dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program Hur & Lode Cardiac Rehab Manager di IJN pada Rabu.
Jelasnya, teknologi HUR SmartTouch berkenaan membolehkan tahap pemulihan pesakit direkod dan disimpan.
“Bukan sahaja untuk mereka yang dirawat, program ini juga sesuai untuk mencegah dari terkena penyakit jantung kerana mesin ini dilengkapi program pengawasan degupan jantung, tekanan dan oksigen dalam darah ketika proses senaman dilakukan,” katanya.
Tambahnya lagi, selain pemulihan fizikal program rehabilitasi yang dijalankan di IJN turut meliputii pemulihan emosi dan pemakanan.
Sementara itu, antara alat senaman yang mengguna gabungan inovasi HUR & Lode Cardiac Rehabilitation Manager digunakan IJN seperti alat senaman basikal dan ‘treadmill’.
