Serdang – Syarikat pengilang baja, Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd melalui anak syarikatnya, Taaveekun Total Green Sdn.Bhd (TTGSB) telah menjalinkan kolaborasi perniagaan bersama KPF Agro Properties Sdn.Bhd dalam penghasilan dan pembekalan perapi tanah bagi merawat tanaman sawit di ladang-ladang Felda seluruh negara.
Presiden Kumpulan Taaveekun, Md Fadzilah Ariffin berkata,TTGSB telah membekalkan lebih 70 ribu tan metrik perapi tanah (Taaveekun soil admenment) kepada KPF Agro Properties.

Perapi tanah yang dihasilkan melalui jalinan formulasi bersama FGV Fertilizer Sdn.Bhd itu diedarkan kepada ladang-ladang sawit terpilih di bawah kumpulan FELDA seluruh negara sejak tahun 2022 dengan nilai kontrak RM 100 juta.
“Kerjasama dengan KPF ini dijalinkan dengan membawa produk kami ke MAHA bagi memberitahu dan memperkenalkan kepada seluruh peneroka, petani, peladang dan masyarakat amnya tentang usahasama memartabatkan komuniti tanaman sawit dan getah di Malaysia ini.
“KPF ada ladangnya sendiri di Gua Musang dan Samarahan, Sarawak, dan kami telah bekalkan baja perapi tanah ini disamping mencadangkan untuk diedarkan kepada para petani dan peneroka yang berdaftar dibawah KPF dengan menggunakan baja Taaveekun.

Jelasnya, Taaveekun turut bekerjasama dengan FELDA dalam projek agro bekalan dengan membekalkan baja perapi tanah ke seluruh kedai baja KPF dengan harga lebih rendah namun masih mengekalkan kualiti terbaik.
“Kita juga dalam perancangan untuk mengeluarkan baja yang ada logo KPF pada tahun hadapan dan usaha ini juga mampu meningkatkan jualan serta kredibiliti pasaran ketiga-tiga pihak” ujarnya.
Susulan kejayaan peningkatan hasil tuaian sawit dan meningkatnya kadar perahan minyak (OER) bagi pokok yang berjaya dipulihkan menggunakan kaedah Taaveekun, maka kedua-dua pihak berhasrat meneruskan kerjasama untuk terus merawat dan memulihkan baki tanaman yang belum dirawat di ladang-ladang sawit Felda, FGV, RISDA dan ladang swasta yang telah dikenalpasti mulai tahun 2024 dan 2025.
Beliau yang ditemui di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 turut berkongsi promosi produknya itu.
“Di MAHA 2024 ini, kami pamerkan setiap produk baja Taaveekun dan dijual dengan harga lebih rendah dari pasaran, para pengunjung juga boleh menyertai game yang disediakan disamping layak mendaftar sebagai rakan tani Taaveekun untuk menikmati diskaun istimewa” katanya kepada Malaysianews TV.

Tambahnya lagi, Taaveekun semakin berkembang luas dan bercadang menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan beberapa agensi lain agar teknologi perapi tanah ini diketengahkan di peringkat lebih meluas.
Pengurus KPF Agro Properties Sdn. Bhd, Mohd Nazrie Abdul Latif menambah, matlamat utama kerjasama KPF dengan Taaveekun adalah untuk membantu peneroka membekalkan peralatan pertanian berteknologi tinggi dari Thailand.
“Kami tertarik dengan konsep Taaveekun yang memastikan tanah sihat untuk penghasilan pokok yang cantik, saya cuba dahulu baja perapi tanah ini di kebun sendiri dan dapati hasil positif, dari situ wujudnya kerjasama ini ke peringkat karnival di ladang dan tanah rancangan semasa PKP dan seterusnya diluaskan ke peringkat FGV pula.
“Inilah permulaan kerjasama antara KPF, Taaveekun, FELDA dan FGV” katanya.
MAHA 2024 menjadi saksi jalinan kolaborasi Taaveekun dan KPF Agro Properties untuk melonjakkan lagi hasil tanaman disamping melipat gandakan usaha sekaligus mensasarkan pulangan yang lumayan untuk
warga peneroka KPF melalui dividen yang pastinya lebih baik berbanding sebelum ini.
