Maxim Para-Sukma (1)

KUCHING – Maxim E-hailing mengambil inisiatif menyediakan pengangkutan percuma kepada atlet para renang para Sarawak sepanjang Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) XXI Sarawak 2024.

Temasya itu dijadual berlangsung dari 22 September hingga 28 September, dengan 10 acara akan dipertandingkan dan atlet-atlet Persatuan Renang Para Sarawak akan bersaing dalam tiga kategori.

Menurut kenyataan syarikat e-panggilan itu hari ini, bagi tujuan itu satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani di Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Sukan Negeri Sarawak di sini antara kedua-dua pihak.

Wakil Maxim E-hailing Shafiqah Shajari menghadiri majlis MoU tersebut bersama Setiausaha Persatuan Renang Para Sarawak Puan Sabariah serta jurulatih dan perenang.

Inisiatif Maxim itu akan membantu 42 individu daripada persatuan terbabit dari segi pengangkutan, terutama semasa sesi latihan di mana mereka perlu melakukan dua sesi sehari dari Batu Kawa ke Pusat Kecemerlangan Akuatik, Kompleks Sukan Negeri, tambah kenyataan itu.

“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih atas peluang yang Maxim sediakan untuk pasukan kerana kami perlu melakukan perjalanan 30-40 minit setiap hari, dua kali semasa latihan pagi dan petang. 

“Kini, mudah untuk kami bergerak kerana Maxim membenarkan kami membuat tempahan awal dan kami berjaya menjimatkan lebih banyak masa dengannya.

“Bukan itu sahaja, e-hailing adalah perjalanan yang paling mudah dan selamat kerana ia terus dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” ujar Sabariah.

Maxim juga merupakan salah satu pengangkutan terbaik untuk mereka yang memerlukan kerana aplikasi telah dikemas kini untuk membantu oleh pemandu terlatih.

Penumpang boleh memaklumkan pemandu melalui bahagian mesej sebelum perjalanan bermula dan menerangkan tentang situasi tersebut.

“Saya berbangga dengan inisiatif kami menawarkan perjalanan percuma kepada pasukan para renang Para SUKMA di Sarawak.

“Kami percaya pengangkutan tidak boleh menjadi penghalang untuk menyertai acara komuniti yang menggalakkan perpaduan dan perayaan. 

“Dengan menyediakan perjalanan percuma, kami berhasrat untuk meningkatkan kebolehcapaian dan memastikan semua orang dapat menikmati perayaan tanpa tekanan perjalanan. 

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen kami untuk menyokong komuniti setempat dan menyumbang secara positif kepada majlis-majlis penting.

“Kami berbesar hati untuk memainkan peranan dalam menjadikan acara ini diingati oleh semua,” kata Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley.

Maxim kata Mohd Hazwan, sentiasa menyebarkan kegembiraan dan kebahagiaan dalam kalangan masyarakat kerana projek seumpama ini mewujudkan ikatan yang kuat antara Maxim dan orang ramai. 

Penglibatan projek seperti ini untuk rakyat sentiasa memberi impak positif dalam masyarakat, katanya lagi.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading