Kuala Lumpur – Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Malaysia (Ensany Malaysia) bakal melancarkan kutipan amal dengan mengadakan Program Ensany Global Peace & Makan Malam Amal pada 30 November ini bertempat di IDCC, Shah Alam.
Ketua Pegawai Esekutifnya, Kamal Aljeffri Albukhari berkata,program amal ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Rabbani Empire Resources bagi menyampaikan mesej-mesej kerohanian, kemanusiaan dan nasihat kepada masyarakat umum.

“Program amal ini adalah pertama kali kami usahakan bagi mengumpul dana untuk tabung Gaza dan tabung RM5 for hunger bagi membantu golongan memerlukan.
“Bagi tabung Gaza, Palestin ini, kami bekerjasama dengan Gaza City Council bagi memastikan dana terkumpul ini disalurkan terus kepada pihak disana dan tiada melalui mana-mana pihak ketiga.
“Kami juga berkongsi semua aktiviti itu di laman sosial bagi mewarwarkan setiap wang sumbangan itu sampai ke mereka yang sepatutnya,” katanya.
Kamal turut menambah, pihaknya menyasarkan kutipan sehingga RM600 ribu bermula hari ini sehingga majlis makan malam diadakan.
“Kami telah mula membuat crowd funding melalui laman web rasmi sejak tahun 2023, dan sehingga kini kutipan mencecah RM150 ribu setiap bulan disalurkan ke Gaza.
“Setiap kutipan, program dan dana akan diaudit oleh pihak yang dilantik bagi memastikan setiap perjalanan operasi lebih telus” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, pihaknya berharap program ini yang bertujuan untuk membantu rakyat Palestin yang memerlukan dapat menarik perhatian para peminat, orang ramai, rakan korporat, rakan NGO, GLC dan lain-lain untuk menyumbang dengan pembelian pakej jualan meja yang bermula dari RM3,000 bagi pakej Gangsa, RM5,000 bagi pakej Perak. Manakala, pakej Emas berharga RM7,000 dan Platinum berharga RM10,000.
Antara selebriti popular yang akan memeriahkan program seperti Kumpulan Rabbani, Lah Ahmad, Mawi dan Oja.
“Setiap artis akan menyampaikan tiga buah lagu dan sebuah lagu medley yang akan disampaikan bersama-sama.
“Program ini juga menampilkan Sheikh Abdul Karim Al Makki yang merupakan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan membaca doa dan alunan ayat suci Al Quran, dan DJ Pyan IKIM Fm sebagai pengacara program tersebut” tambahnya.
Bagi anda yang ingin membuat tempahan meja untuk program ini, boleh terus berhubung dengan wakil mereka melalui email ensanyglobalpeace@ensany.com atau whatsapp ke nombor 011-20599834.
