fef9a22a-5f35-4e98-9dfc-fbee48ff64d7

Kuala Lumpur – Pementasan teater Di Sebalik Topeng ialah karya seni yang mengangkat tema kesihatan mental dan penebusan diri merupakan satu refleksi tentang cabaran kehidupan yang sering dihadapi oleh banyak individu dalam masyarakat.

Demikian menurut ikon seni tanah air yang tidak asing lagi dalam industri hiburan Malaysia, Fauziah Dato’ Ahmad Daud.

Teater terbitan syarikat milik beliau, Ogy Ventures & Network Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh pengarah berbakat, Zainorhisyam Samudin yang terkenal dengan karya-karya dramatik yang menyentuh hati dan memberikan impak mendalam kepada penonton.

Pementasan ini dijadualkan diadakan pada 19 Oktober dan 20 Oktober 2024, jam 8.30 malam, di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP.

Teater ini dibawakan ke pentas teater dengan kerjasama DBP serta mendapat sokongan daripada geran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Teater ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu wadah untuk kita merenung diri dan memahami erti kekuatan dalam menghadapi ujian hidup”.

“Setiap watak yang dipersembahkan dalam karya Di Sebalik Topeng melambangkan topeng-topeng yang kita pakai untuk menyembunyikan perasaan dan luka yang kita alami,” ujarnya.

Jelasnya lagi, naskah ini bakal membawa penonton menyelami kisah seorang wanita yang bergelut dengan masalah kesihatan mental, selain mendapati dirinya terperangkap dalam konflik emosi mendalam.

Melalui sesi terapi kumpulan, wanita berkenaan tidak bersendirian, sebaliknya ditemani beberapa individu lain yang juga cuba melepaskan diri daripada trauma dan bebanan hidup.

Di Sebalik Topeng menggunakan latar belakang sesi, terapi sebagai medan menyingkap kisah setiap watak yang penuh adegan rahsia.

Kesihatan mental sering kali dianggap tabu, tetapi melalui teater Di Sebalik Topeng, penonton akan diingatkan mengenai kepentingan mencari bantuan dan memahami kesakitan emosi adalah sebahagian kehidupan yang perlu diatasi, bukan disembunyikan.

“Masyarakat kita masih lagi canggung dan kurang faham kepentingan merawat masalah itu sendiri, dalam dialog monolog pembuka ada menyebut “Aku sihat, aku tak sakit” dan itu sendiri menunjukkan dia sendiri tidak sedar bahawa dirinya perlu dirawat.

“Saya berharap teater ini juga dapat membantu masyarakat kita ini memahami kepentingan sistem sokongan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai masalah kesihatan mental dan emosi” tambahnya.

Diarahkan oleh pengarah berbakat Zainorhisyam Samudin,berharap pementasan ini dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan sokongan emosi.

“Teater ini adalah sebuah experimental kepada situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan kita.

“Dalam teater ini kita persembahkan pelbagai latar kehidupan yang membawa kepada gangguan mental itu sendiri dimana ada sosok narsisitik, penagih dadah, scammer, wanita yang melalui dugaan dihina dan dikecam, pemerdagangan manusia dan mangsa penderaan.

“Semua ini berlaku di sekeliling kita dan kita tekankan pada pengakhirannya kepentingan support system dari semua pihak” jelasnya kepada media selepas pementasan preview malam tadi.

Tambahnya lagi, pihak produksi berharap untuk meluaskan lagi pementasan teater yang menekankan kesihatan mental ini di seluruh negara.

Pementasan teater ini juga beberapa pelakon lain seperti Rayden Ahmad, Luqman Muqri, Leesha MK, Nor Azila, Gibran Agi dan Ard Omar.

Tidak hanya memberikan persembahan mantap, malah gabungan elemen-elemen dramatik, konflik emosi, serta penyampaian lakonan yang penuh perasaan menjanjikan pengalaman teater yang tidak mudah dilupakan.

Tiket untuk menyaksikan teater Di Sebalik Topeng kini dijual pada harga RM54, RM104, dan RM154, dan boleh didapati melalui www.iLassoTickets.com.

Leave a Reply

Discover more from Malaysianews TV

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading