Kuala Lumpur – Satu aplikasi baharu, myBarber dibangunkan dan dilancarkan oleh jenama lokal terkenal TODAK bagi memperkasa ekonomi GIG sekali gus membantu para juru gunting bebas.
Ketua Pegawai Eksekutif myBarber, Hazman Hashri berkata aplikasi ini myBarber menghubungkan pelanggan dengan juru gunting rambut berkemahiran tinggi untuk perkhidmatan penjagaan rambut yang mudah, sambil memberi kuasa kepada mereka dengan alat pengurusan tempahan, analitik perniagaan, dan strategi untuk meluaskan jangkauanmereka dalam era digital.

“Aplikasi ini dibangunkan bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelanggan tetapi memberi peluang juga untuk mereka memilih barber yang mereka inginkan dengan ketetapan masa serta lokasi yang diinginkan.
“Setakat hari ini, lebih kurang 500 barber telah berdaftar dengan kami dan untuk permulaan ini tiada sebarang bayaran dikenakan dan semua barber diberikan satu kit lengkap kelengkapan menggunting rambut” katanya dalam sidang media di MITEC.
Jelasnya lagi, aplikasi ini turut meletakkan kos paling rendah mengikut radius perjalanan juru gunting bagi keselesaan pengguna membayarnya.

Pengasas TODAK, Azlan Zainal atau lebih dikenali sebagai Lan Todak menambah, aplikasi ini pada masa kini hanya boleh digunakan di kawasan Lembah Kelang sahaja dan akan diperluaskan di seluruh negara pada tahun hadapan.
“Idea aplikasi ini dibangunkan apabila melihat situasi ketika pandemik, waktu itu semua orang tidak boleh keluar dan ini menyukarkan untuk mereka menggunting rambut, kita lihat industri barber pada waktu itu mendapat permintaan tinggi dan seterusnya demand untuk barber datang ke rumah turut meningkat.
“Oleh itu, selepas melalui proses perbincangan dan penilaian maka lahirlah aplikasi ini bertujuan untuk membantu pelanggan dan dalam masa sama barber freelance juga” ujarnya.

Aplikasi myBarber ini juga menyasarkan lebih ramai juru gunting bebas yang akan mendaftar disamping lebih 500 transaksi tempahan pada tahun pertama pelancarannya.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut, pempengaruh dan pengasas Joe’s Barbershop, Safuan Bachtiar dan Ketua Pegawai Eksekutif Retrobee, Firdaus Aziz.
