KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesahkan insiden pergaduhan berlaku di platform stesen LRT Bandar Tasik Selatan, di sini, pada jam 12.03 malam tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dalam satu kenyataaan memaklumkan, kejadian melibatkan pertengkaran kumpulan penyokong bola sepak selepas tamat perlawanan Piala AMEC 2024 di antara Malaysia dan Singapura.
Menurut beliau, sekumpulan penyokong bola sepak keluar dari tren dan berlaku pertengkaran di antara penyokong kumpulan berlainan, melibatkan 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif bertumbuk satu sama lain.
Ini termasuk tindakan membaling tong sampah ke arah penghadang pintu lif tren serta menendang pintu tren, sekali gus mengakibatkan kerosakan pada pintu cermin tren.
Insiden menyebabkan tren terhenti sekitar lapan minit.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.
Sementara itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai atau mereka terlibat tampil untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 147/427 Kanun Keseksaan kerana merusuh serta mendatangkan kecederaan dan kesalahan khianat ke atas harta benda.
